Monday 23 April 2012

Permulaan Hidayah: Kenali Musuh Kita Hawa Nafsu

Assalamualaikum, saudara dan saudari. Episod yang lepas saya telah menceritakan tentang nafsu sebagai musuh kita. Episod kali ini saya akan membicarakan tentang musuh ke tiga kita iaitu hawa nafsu. Untuk melawan hawa nafsu ini Imam al-Ghazali menyebutkan tiga tingkatan manusia dalam usaha memerangi hawa nafsunya:

i)Telah menyerah kalah.

Golongan ini tergolong dalam mereka yang dikuasai sepenuhnya hawa nafsunya dan tidak dapat melawannya sama sekali. Ini merupakan keadaan majoriti manusia. Mereka ini telah mempertuhankan hawa nafsunya. Firman Allah: ”Maka, pernahkah kamu melihat orang yang telah menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah al-Jatsiyah: 23)

ii)Sedang dan sentiasa berperang

Golongan ini terdiri daripada mereka yang sentiasa dalam bertarik tali berlawan dengan hawa nafsu. Adakalanya dia menang dan ada kalanya kalah. Insya-Allah, inilah orang yang sedang berjuang (mujahadah). Mereka ini menunaikan apa yang diperintahkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui sabdanya yang bermaksud: ”Berjuanglah kamu melawan hawa nafsumu sebagaimana kamu berjuang melawan musuh-musuhmu.”


iii)Orang yang telah menang

Golongan itu terdiri daripada mereka yang berjaya menguasai sepenuhnya hawa nafsunya. Mereka ini terpelihara daripada berbuat dosa dan maksiat kecuali sangat sedikit melakukan maksiat. Perjuangan menentang hawa nafsu adalah satu bentuk perjuangan jangka panjang. Perjuangan ini hanya akan berakhir dengan kematian. Sikap waspada dan sentiasa siapa siaga amat diperlukan setiap masa.

ERTI MUJAHADAH DAN KEPENTINGANNYA

Melawan hawa nafsu bagi maksud mengawal, mengurus dan mengendalikannya adalah wajib kerana kita hanya wajar menjadi hamba Allah. Demikian yang dapat difahami daripada kaedah, “tidak sempurna sesuatu yang wajib melainkan dengan sesuatu itu maka sesuatu itu juga menjadi wajib.” Berdasarkan itu, jika kita tidak berbuat demikian, sudah tentu kita akan berdosa. Bukankah syurga itu hanya ada pada mereka yang menundukkan kehendak nafsunya kepada kehendak Allah? Firman Allah: “Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada nafsunya, maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya” (Surah al-Naziat: 40-41)

Melawan hawa nafsu juga adalah syarat untuk mendapat pimpinan Allah. Firman Allah: “Mereka yang berjuang untuk melawan hawa nafsu kerana hendak menempuh jalan Kami, sesungguhnya Kami akan tunjuk jalan Kami. Sesungguhnya Allah itu berserta dengan orang yang buat baik.” (Surah : )

Kepentingan melawan hawa nafsu ini ditegaskan lagi oleh Rasulullah s.a.w. menerusi sabdanya: “Tidak beriman salah seorang antara kalian hingga hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa.” Baginda juga bersabda: “Seorang mujahid (iaitu seorang yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah.”

Mujahadah bermaksud berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu. Istilah “mujahadah” berasal daripada kata “al-jihad” iaitu berusaha segala kesungguhan, kekuatan dan kesanggupan pada jalan yang diyakini benar. Dengan kata yang lain, seorang yang bermujahadah dengan rela meninggalkan apa yang disukainya demi memburu sesuatu yang diyakininya benar, baik dan betul. Inilah maksud kata-kata Imam al-Ghazali: “Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin.”

Selain itu ilmu, taktik dan strategi melawan hawa nafsu wajib dipelajari. Bahkan kita tidak akan menang jika dalam menempuh jalan mujahadah hanya dilakukan dengan semberono. Malangnya, ilmu tentang mujahadah ini seolah-olah terpinggir pada masa kini. Manakala strategi melawan hawa nafsu hampir tidak dibicarakan lagi.

Ironinya, jika dengan musuh zahir yang jarang-jarang kita berdepan dengannya, kita sanggup membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli kelengkapan perang dan sejata, mengorbankan banyak masa dan tenaga untuk persiapan berperang, tetapi dengan hawa nafsu yang setiap detik kita berperang dengannya, mengapa ambil tidak indah sahaja. Sedangkan nafsu ini adalah musuh yang paling berbahaya, yang sepatutnya lebih diberi perhatian serius. Rasulullah s.a.w. bersabda:”Orang yang kuat bukanlah orang yang dapat mengalahkan musuhnya tetapi dapat menguasai marahnya.”

PRINSIP ASAS DALAM MELAWAN HAWA NAFSU

Berikut tiga prinsip asas kaedah melawan nafsu. Tiga kaedah ini telah digariskan oleh ulama pakar dalam meneliti perjalanan hati dan nafsu manusia. Dalam kitab Minhajul Abidin misalnya, Imam Ghazali telah menggariskan tiga prinsip asas berikut:

i) Menahan atau menyekat sumber kekuatannya.

Nafsu yang diumpamakan kuda yang liar itu boleh dijinakkan dengan syarat ditahan sumber yang memberikannya tenaga. Jadi, nafsu boleh dikawal dengan menahan makan (berpuasa). Oleh sebab itulah dalam Islam kita diwajibkan berpuasa sebulan dalam setahun. Dan digalakkan juga berpuasa sunat hari-hari tertentu. Malah mereka yang belum mampu berkahwin, nabi Muhammad s.a.w. menganjurkan mereka menjinakkan nafsu seks dengan berpuasa.

Selain menahan perut daripada banyak makan, ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat. Antaranya, menahan pandangan (mata) daripada yang haram, telinga daripada mendengar sesuatu yang berdosa, mulut daripada berkata-kata yang dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah dan lain-lain. Semua ini perlu diketahui dengan cara belajar. Ilmu yang berkaitan dengan menjaga pancaindera inilah yang dimaksudkan dalam ilmu tasawuf sebagai akhlak. Hukum mempelajarinya, fardhu ain bagi setiap mukhallaf.

ii) Membebankan nafsu itu dengan ibadah.

Setelah nafsu yang diumpamakan sebagai kuda liar itu disekat sumber kekuatannya, langkah seterusnya ialah dengan dibebankan ibadah tertentu terutamanya ibadah khusus yang berbentuk fardhu dan sunat. Solat terutamanya, sangat diperlukan dalam kaedah ini semata-mata untuk ‘menyeksa’ nafsu. Bukan sahaja solat lima waktu tetapi solat malam (qiamulalil) sangat berkesan untuk menundukan hawa nafsu.

Begitu juga dengan zikrullah yang lain seperti membaca al-Quran serta wirid-wirid tertentu (yakni yang bersumberkan al-Quran, hadis-hadis sahih dengan tunjuk ajar dan didikan syeikh atau guru yang benar serta mendapat petunjuk (mursyid). Begitu juga dengan amalan sedekah, kerja-kerja amal, mengajar, belajar dan lain-lain amal kebajikan. Pokok pangkalnya, bebankanlah nafsu kita dengan ibadah hingga ia merasa letih untuk melakukan kejahatan. Ingatlah nafsu itu tidak pernah puas dan kehendanya tidak terbatas, maka ibadah yang dapat menundukkannya hendaknya begitu juga. Jangan terbatas dan jangan dibatasi oleh rasa puas.

iii) Berdoa minta bantuan Allah untuk menewaskannya.

Usaha menentang hawa nafsu hendaklah dimulakan, diiringi dan disudahi dengan berdoa kepada Allah. Nafsu itu makhluk Allah, maka Allah sahaja yang mampu memudahkan diri manusia untuk menguasai dirinya sendiri (nafsu). Bahkan, usaha awal kita untuk memperbaiki diri perlulah dimulai dengan membentuk komunikasi dan interaksi yang harmoni dengan Ilahi.

Hubungan ini dibentuk melalui doa. Jika Allah permudahkan, jalan mujahadah yang payah akan menjadi mudah. Bantuan Allah inilah yang sangat kita dambakan. Malah inilah pesan Rasululllah s.a.w. kepada Muaz bin Jabal dengan katanya:

“Wahai Muaz, aku sangat cinta kepadamu. Maka selepas kau mengerjakan solat jangan sekali-kali kau lupa berdoa kepada Allah dengan doa ini: “Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu dan bantulah aku untuk mmperbaiki ibadah kepada-Mu.”


Banyak lagi doa-doa yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bermujahadah melawan hawa nafsu ini. Antara doanya itu ialah: “Ya Allah ya Tuhanku, berilah aku taqwa, dan bersihkanlah diriku. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang membersihkan. Engkaulah pelindungku dan pemimpinku.”

LANGKAH-LANGKAH JALAN MUJAHADAH

Langkah-langkah tersusun untuk melawan hawa nafsu seperti berikut:

i) Belajar mengenai sifat nafsu dan angkaranya.

Belajar mengenai sifat-sifat mahmudah dan mazmumah (ilmu akhlak atau tasawuf) adalah wajib. Kita mesti mendapat ilmu yang digali daripada al-Quran dan Sunnah untuk mengetahui sifat-sifat nafsu, angkara kejatannya dan bagaimana melawannya. Para ulama telah mempermudahkan ilmu-ilmu ini mengikut kategorinya tersendiri.

ii) Membina kesedaran dan keazaman yang tinggi.

Tidak cukup dengan mempunyai ilmu sahaja tanpa kesedaran dalam hati dan keazaman yang kuat untuk mengamalkannya. Bagaimana jika kita hanya ada senjata (ilmu) tetapi tidak ada keingininan yang kuat untuk mngamalkannya apabila diserang musuh? Ilmu bukan untuk pengetahuan dan kefahaman semata-mata, tetapi yang lebih penting untuk diamalkan.

iii) Mempraktikkan ilmu.

Inilah tahap yang paling sukar tetapi inilah tahap yang paling penting. Perkara ini memerlukan satu iltizam yang kuat dalam diri kerana apa yang disukai nafsu adalah juga yang disukai oleh diri kita sendiri. Ramai orang yang tahu sesuatu kebaikan tetapi masih malas melakukannya. Dan ramai yang tahu sesuatu kejahatan tetapi masih tega melakukannya.

Semua itu kerana mereka belum ‘mahu’, dan baru sekadar ‘tahu’. Pengetahuan itu dicapai melalui proses belajar manakala kemahuan dibina dengan mempraktikkan apa yang telah kita pelajari. Dengan mempraktiokkan ilmu barulah ilmu yang bertapak di akal dapat dipasakkan ke dalam hati. Oleh sebab itu ‘tahu’ tempat letakkannya di akal tetapi ‘mahu’ itu letaknya di hati.

iv) Terus melatih diri dan bersifat konsisten melawannya.

Ramai juga orang yang telah tahu dan mahu melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan, tetapi tidak lama, mereka berpatah semula ke belakang. Bak kata peribahasa Melayu sekadar “hangat-hangat tahi ayam”. Mereka tidak berdaya untuk konsisten (istiqamah) dalam kebenaran. Apa yang perlu ialah latihan yang berterusan agar tahap pengetahuan dan kemahuan itu diteruskan hingga ke tahap kemampuan.

Imam Ghazali berpesan nafsu tidak dapat dikalahkan dengan tergesa-gesa. Kehendaknya tidak boleh ditekan sekali gus melainkan perlu ditahan secara bertahap-tahap. Latihan menundukkan hawa nafsu ini perlu dilaksanakan sedikit demi sedikit tetapi istiqamah selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w.:

“Amalan yang baik ialah amalan yang berterusan (konsisten) sekalipun sedikit.”

“Alah bisa, tegal biasa,” begitulah nafsu yang jahat jika dilatih berterusan untuk melakukan kebaikan, akan terbiasalah nafsu itu dengan kebaikan dan kebajikan. Sampai ke tahap ini, nafsu itu akan menjadi tenaga penggerak atau kenderaan (kuda tunggangan) kepada manusia. Umpama, racun pada ular senduk – di situ ada racun, di situlah juga ada penawarnya. Sebab itu ditegaskan berkali-kali bahawa nafsu itu bukan untuk dihapus tetapi untuk diurus.

Jika diuruskan dengan baik, nafsu akan membawa kepada kemajuan rohaniah dan material dalam kehidupan. Nafsu seks yang diurus melalui pernikahan yang sah, akan memberi ketenangan, keberkatan dan rahmat dalam diri suami dan isteri. Ia juga meneruskan kesinambungan zuriat yang akan menjadi tenaga penggerakan kepada pembangunan ummah. Begitu juga nafsu makan yang terurus, akan memberi tenaga untuk beribadah dan menyebabkan terbentuknya jaringan perniagaan, industri makanan, hub halal, inovasi dan teknologi makanan dalam bidang bioteknologi dan sebagainya.

Manusia yang dibekalkan dengan unsur nafsu inilah yang menjadi sebab mereka dilantik menjadi khalifah di muka bumi – bukan malaikat, kerana dengan nafsu makmurlah muka bumi ini dengan pembangunan yang bersendikan hukum Allah. Sebaliknya, malaikat tidak mempunyai potensi ini kerana mereka sepi daripada sebarang keinginan dan rangsangan. Namun, jika nafsu tidak terurus manusia akan jatuh ke tahap yang lebih hina daripada haiwan (makhluk nafsu tanpa akal).

Jangan menoleh ke belakang… tempuhlah jalan mujahadah. Itulah jalan yang penuh saadah (kebahagiaan). Walaupun itu adalah jalan yang payah, tetapi itulah jalan yang paling mudah. Tidak ada jalan pintas!

Permulaan Hidayah: Kenali Musuh Kita Nafsu

Assalamualaikum, saudara dan saudari sekalian. Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana memberi kesempatan kepada kita untuk hidup di dunia ini lagi. Episod yang lepas saya telah membicarakan tentang syaitan sebagai musuh utama kita. Sekarang saya akan membicarakan musuh kedua kita iaitu nafsu. Jika kita tidak menundukkan nafsu maka kita akan gagal untuk mencapai matlamat mengislahkan atau membaiki iman kita sendiri. Jika kita berjaya menundukkan nafsu maka kita berjaya mencapai matlamat untuk mengislahkan atau membaiki iman kita sendiri. Nafsu ada 7 peringkat seperti berikut:-

1) Nafsu Ammarah
Peringkat nafsu ini merupakan peringkat nafsu yang paling hina dan jahat. Nafsu Ammarah tidak menyuruh sesuatu pun pada diri kita kecuali kepada kejahatan. Orang yang berada di tahap nafsu ini telah dikuasai oleh hawa nafsunya. Apabila nasfu menguasai, maka segala perbuatan dan perkataannya sentiasa terdorong kepada kejahatan dan kederhakaan kepada Allah. Allah menyatakan kejelekan nafsu ini dengan
Firman-Nya: Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan.(yusuf:53).
Sekiranya kita berada di tahap nafsu ini maka celakalah kita. Sebabnya kita tidak akan terlepas daripada seksaan api Nereka Allah. Ini adalah kerana tiada kebaikan pada diri kita. Nafsu diperingkat ini memiliki hati yang penuh dengan sifat-sifat mazmumah Seperti sombong, dengki, mengumpat, mengadu domba, dendam, menghina, riak, ujud, sum’ah, pemarah, pemalas, kuat tidur, kuat makan, malas beribadah, suka kepada kesoronokan dan sebagainya. Mereka telah menjadi hamba nafsu bukannya menjadi hamba Allah.

2) Nafsu Lawwamah
Peringkat nafsu ini lebih baik sedikit daripada nafsu Ammarah. Peringkat nafsu ini, telah pun menyedari keburukan sifat-sifat yang bersarang dihatinya. Telah berusaha bermujahadah menentang segala sifat buruk itu. Mereka telah memiliki ‘iman ilmu’ dengan cara mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan Islam. Ini tidak juga menjamin mereka beramal dengan apa yang mereka ketahui. Kadang-kadang kejahatan ulama-ulama dan dosa yang mereka lakukan melebihi kejahatan yang dilakukan oleh orang jahil. Mereka yang bernafsu lawwamah telah pun melakukan mujahadah menentang sifat-sifat buruk itu, tetapi sering tewas oleh bujukan hawa nafsunya sendiri. Bila menyedari kesilapan, mereka menyesali atas kejahatannya, tetapi mengulanginya kembali disebabkan desakan nafsunya melebihi keimanannya. Peringkat nafsu ini boleh berlaku kepada mereka yang sudah bergelar ustaz, ustazah, kadhi, mufti, ulama, tok guru dan professor. Ilmu yang banyak tidak dapat menjamin keselamatan dan terpelihara daripada pujukan nafsunya sendiri. Setiap ilmu yang ada hendaklah diamalkan dengan bersungguh-sungguh dan berterusan (istiqamah) disamping berusaha dengan tekun melawan kehendak nafsu yang hina. Dengan cara inilah nafsu jahat kita akan berubah sedikit demi sedikit menaiki tangga nafsu yang lebih baik dari sebelumnya. Tanpa perubahan yang dilakukan , mereka masih tercela dan dimurkai Allah, kerana orang yang bernafsu lawwamah masih tidak selamat dari Neraka Allah.

3) Nafsu Mulhamah
Latihan yang sistematik dan istiqamah dalam mengikis sifat-sifat kesyaitanan dan kebinatangan (sifat mazmumah) akan menyucikan hati kita. Hati ibarat sebagai satu bekas, mestilah kosong dari sifat-sifat mazmumah (tercela), supaya hati itu dapat pula diisi dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji). Jiwa yang bernafsu Mulhamah adalah jiwa yang mula menampakkan keelokan pada jiwa itu. Orang yang bernafsu Mulhamah mula mendapat ilmu-ilmu terus dari Allah yang disebut ‘Ilham’atau ‘Laduni’.

Firman Allah Taala:
Demi nafsu (manusia) dan yang menjadikan (Allah) lalu diilhamkan kepadanya mana yang buruk dan mana yang baik. Sesungguhnya dapat kemenanganlah orang yang menyucikan (nafsunya) dan rugilah orang yang mengotorkannya. (As-Syam: 7-10)
Tahap nafsu ini merupakan tahap pertama dalam memasuki sempadan kewalian. Oleh kerana itu kita seharusnya berada paling minimanya di tahap nafsu ini. Walau bagaimana pun kita janganlah terus berada diperingkat nafsu ini, kerana orang yang berada diperingkat nafsu ini belum lagi mantap. Jiwa perlu digilap dan ditingkatkan lagi agar ia dapat mendaki nafsu yang lebih tinggi.

4) Nafsu Mutma’innah
Sekiranya kita berada diperingkat nafsu ini, barulah kita akan terselamat dari seksaan Neraka. Ini dinyatakan sendiri oleh Allah Taala.

FirmanNya berbunyi:
Wahai jiwa yang tenang (nafsu muta’innah) kembalilah kepada TuhanMu dengan hati yang puas lagi diredaiNya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam SyuargaKu. (Al-Fajr: 27-30).

Merupakan peringkat permulaan untuk menuju kepada Allah. Tetapi awas kita akan jatuh juga di dalam tipuan-tipuan yang tersangat halus, sekiranya kita tidak berhati-hati. Di antara penipuan-penipuan itu ialah seperti syirik khafi (syirik yang tersembunyi), cintakan kedudukan dan pangkat. Orang yang bernafsu mutma’innah ini dari segi zahirnya nampak cantik iaitu bersifat yang mulia lagi terpuji seperti pemurah, lemah-lembut, bertawakal, zuhud, warak, syukur, sabar, redha. Tersingkap kepada mereka akan rahsia-rahsia ketuhanan, bahkan telah terjadi kepadanya perkara-perkara pelik dan sebahagian dari keramat-keramat. Ia merasakan dirinya telah dinaikkan maqam Iman Al A’zam (Iman Besar). Inilah sebahagian daripada penipuan-penipuan yang perlu kita berhati-hati.

5) Nafsu Radiah
Apakalanya mereka yang bertaraf nafsu mutma’innah itu memperolehi inayah dari Allah dan ia bersandar kepada Syeikhnya (guru yang membimbingnya) secara keseluruhannya serta dilazimi mujahadah sehingga tetaplah dia dengan sifat-sifat yang terpuji dan hilangnya unsur-unsur riyak maka jadilah nafsunya hina, sama baginya pujian atau celaan. Dia telah masuk di dalam maqam fana, redha dengan apa yang terjadi atas dirinya tanpa tentangan maka meningkatlah maqam mutma’innah ke tahap nafsu radiah.

6) Nafsu Mardhiah
Boleh juga berlaku pandangan fana dan ikhlas akan jatuh ke dalam bahaya ujud iaitu hairankan diri. Maka ketika itu hendaklah ia memohon perlindungan daripada Allah dari hal seumpama itu dengan bantuan Syeikhnya. Tanpa bantuan Syeiknya ia tidak akan berjaya. Apabila ia telah kembali fana dan ikhlas , akan ditajallikan kepadanya redha, diampunkan dosanya yang telah lalu, digantikan kejahatannya dengan kebaikan, maka terbukalah segala pintu zauk dan tajalli, lalu tenggelamlah ia di dalam lautan Tauhid dan burung-burung rahsia akan memperdengarkannya nyanyan-nyanyian. Nafsu ini dinamakan nafsu mardhiah.

7) Nafsu Kamilah
Tingkat nafsu ini adalah tingkat yang terakhir dan yang tertinggi sekali. Tingkat ini jarang dicapai oleh jiwa-jiwa seperti kita. Tingkat ini biasanya dicapai oleh para Rasul, Nabi-Nabi, para Sahabat dan wali-wali besar sahaja. Golongan ini akan meningkat dari darjat fana(binasa) kepada baqa(kekal) dengan Allah Taala sentiasa. Di tahap ini seseorang itu tidak perlu bersusah payah dengan bermujahadah dan berusaha melawani desakan hawa nafsu dan syaitan, kerana sifat kesempurnaan telah mendarah daging dan bersebati dengannya.

Firman Allah: Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan. (Yusuf: 53)
Musuh kita yang paling jahat ialah nafsu kita yang berada di antara dua lambung kita. Kejahatan nafsu melebihi kejahatan syaitan atau iblis. Jadi permusuhan kita dengan nafsu kita sendiri melebihi permusuhan kita dengan syaitan. Namun, syaitan dapat menguasai diri kita melalui nafsu yang berada pada diri kita. Dengan kata lain, nafsu merupakan talibarut atau suruhan syaitan untuk menerangi kita.
Menyedari tentang hal ini, maka janganlah kita tertipu oleh nafsu kita sendiri. Kerana sesuatu yang datang darinya adalah yang dapat menipu-dayakan kita. Sekiranya kita lupa dari bermuhasabah terhadapnya, kita akan dihanyutkan olehnya. Bahkan sekiranya kita gagal dalam menentang dan melawannya, kita akan diseret masuk ke Neraka.

Untuk menyelamatkan diri, kita kenalah bertakwa kepada Allah. Renungilah sebanyak manakah usia kita yang telah kita pergunakan untuk mencari kebahagian Akhirat, kerana renungan seumpama itu sebenarnya dapat membasuh hati kita.
Sabda Rasullulah SAW: Berfikir satu saat itu lebih baik dari ibadah setahun.
Pendekkan angan-angan , memperbanyakkan berzikir pada Allah, menjauhi tegahan-tegahanNya, menahan dari mengikut kehendak hawa nafsu dan syahwat. Ini adalah nafsu itu berhala. Oleh itu sekirannya kita tunduk dan memperhambakan diri pada nafsu, bermakna kita telah tunduk dan menyembah berhala.

Berkata Yahya bin Muaz ra:
Bermujahadah menentang nafsumu iaitu dengan melakukan ketaatan pada Allah dan melakukan latihan-latihan (riadah kerohanian). Latihan itu ialah dengan menghindarkan tidur, mengurangkan percakapan, tahan menanggung kesakitan dan bala dari manusia serta mengurangkan makan. Maka lahirlah dari sedikit tidur itu, sucikan kemahuan. Sedikit percakapan dapat menyelamatkan diri daripada berbagai penyakit. Dengan menanggung kesakitan dari manusia akan mendapat menyampaikan maksud dan cita-cita. Dan sedikit makan akan mematikan nafsu, kerana membanyakkan makan akan mengeraskan hati dan menghilangkan cahaya. Sedangkan cahaya (nur) hikmah itu ialah lapar, sedangkan kenyang dapat menjauhkan diri dari Allah.
Rasullulah SAW bersabda: Jangan kamu mematikan hati kamu dengan memperbanyakkan makan dan minum, kerana hati akan mati seperti mana tanaman akan mati apabila terlalu banyak disiram dengan air.

Rasullulah SAW bersabda: Sesungguhnya syaitan akan menusuk masuk ke dalam tubuh anak Adam melalui tempat pengaliran darah. Maka persempitkan tempat aliran darah itu dengan berlapar.

Rasullulah SAW bersabda lagi: Tiga perkara yang membinasalkan: Hawa nafsu yang ditaati, kebakhilan yang dituruti dan hairan seseorang itu terhadap dirinya sendiri.
Sifat-sifat tercela (Mazmumah)
Sebagaimana yang kita telah ketahui , bahawa diri kita akan menjadi diri yang suci bilamana hati kita tidak dibelenggu lagi oleh sifat-sifat yang dicela atau mazmumah. Hati yang penuh dengan sifat mazmumah akan menjadikan hati sentiasa dikunjungi oleh syaitan. Kunjungan syaitan pada hati adalah merupakan kunjungan untuk menawan dan mengawal hati kita. Apabila syaitan dapat mengawal dan berkuasa pada hati kita, syaitan akan bawa hati kita menderhakakan Allah swt. Hati yang telah dikawal dan dikuasai oleh syaitan tidak akan membawa tuannya kepada mentaati Allah.

Jadi untuk menggelakkan diri kita sentiasa dalam kutukan dan kemurkaan Allah, kita perlu menyucikan hati kita dari segala sifat jahat yang selalu bermaharajalela di dalam hati kita. Kita perlu bermujahadah dan berjuang untuk mengikis buang segala sifat tercela itu bersungguh-sungguh, jangan memberi peluang langsung kepada syaitan untuk membelenggu diri kita.

Sebelum kita melalui proses bermujahadah membuang segala sifat-sifat yang keji dan jahat pada diri kita itu, perlu pula kita mengenali dan mengetahui apakah sifat-sifat buruk yang masih bertapak dalam hati kita itu. Apakah puncanya? Setelah kita mengenali jenis dan punca penyakit yang dihidapi oleh diri kita, barulah boleh kita berusaha untuk mengubati penyakit tersebut. Sama juga dengan penyakit zahir perlu diketahui terlebih dahulu apakah jenis penyakit dan apakah sebab-sebabnya. Apabila kita telah dapat mengesan jenis penyakit itu, barulah boleh kita berusaha untuk mengubatinya.

Di sini terdapat beberapa jenis penyakit yang selalu bermain-main dalam hati dan diri kita. Marilah bersama-sama kita kaji, mencari punca dan sekaligus mencari cara untuk menghindarkan diri kita daripada wabak penyakit itu. Penyakit-penyakit yang selalu dihidapi oleh kita, termasuklah pada diri saya sendiri.

Antaranya ialah :
1. Bahaya lidah 2. Marah 3. Hasad dengki 4. Bakhil 5. Sukakan kemuliaan dan kemegahan 6. Riak 7. Sombong (takabur) 8. Ujud (hairankan diri) 9. Tipu daya

Sunday 22 April 2012

Permulaan Hidayah: Kenali Musuh Kita Syaitan

Assalamualaikum, saudara dan saudari sekalian. Episod yang lepas, saya telah membicarakan tentang taubat nasuha sebelum kita membersihkan jiwa kita. Setelah kita mematuhi rukun-rukun taubat nasuha dan sentiasa memperbaharui taubat kita dari semasa ke semasa, kita juga mesti tahu siapa musuh kita sebenarnya?. Musuh yang menyebabkan kita tergelincir dari landasan agama. Ada 3 musuh utama kita. Tapi, musuh ini kita tidak nampak dan tidak dapat melawan dengan kekuatan tenaga. Musuh tersebut ialah:-

(i) Syaitan - Cara syaitan menganggu dalam solat kita:-

1)WAS-WAS SAAT MELAKUKAN TAKBITAUL IHRAM

Saat mulai membaca takbiratul ihram "Allahu Akbar", ia ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sudah sah atau belum sah. Sehingga ia langsung mengulanginya lagi dengan membaca takbir. Peristiwa itu terus menerus terulang, terkadang sampai imamnya hampir ruku'.

Ibnul Qayyim berkata: "Termasuk tipu daya syaitan yang banyak mengganggu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwudhu) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat". Was-was itu membuat mereka tersiksa dan tidak tenteram.

2)TIDAK KONSENTRASI SAAT MEMBACA BACAAN SOLAT

Sahabat Rasulullah SAW iaitu 'Utsman bin Abil 'Ash datang kepada Rasulullah dan mengadu: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah dan rancau". Rasulullah SAW menjawab, "Itulah syaitan yang disebut dengan Khinzib. Apabila kamu merasakan kehadirannya, maka meludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah SWT. Akupun melakukan hal itu dan Allah SWT menghilangkan gangguan itu dariku"
- (HR. Muslim)

3)LUPA JUMLAH RAKAAT YANG TELAH DIKERJAKAN

Abu Hurairah r.a berkata, "Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Jika salah seorang dari kalian shalat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggodanya sampai ia tidak tahu berapa rakaat yang ia telah kerjakan. Apabila salah seorang dari kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam"
- (HR Bukhari dan Muslim)

4)HADIRNYA PIKIRAN YANG MEMALINGKAN KONSENTRASI

Abu Hurairah r.a berkata: "Rasulullah SAW bersabda, "Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan tersebut. Apabila muadzin telah selesai azan, ia kembali lagi. Dan jika iqamat dikumandangkan, ia berlari. Apabila telah selesai iqamat, dia kembali lagi. Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya: "Ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat!", sehingga orang tersebut tidak tahu berapa rakaat ia solat"
- (HR Bukhari)

5)TERGESA-GESA UNTUK MENYELESAIKAN SOLAT

Ibnul Qayyim berkata: "Sesungguhnya ketergesa-gesaan itu datangnya dari syaitan, kerana tergesa-gesa adalah sifat gelabah dan sembrono yang menghalang-halangi seseorang untuk berprilaku hati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya. Tergesa-gesa muncul kerana dua perilaku buruk, iaitu sembrono dan buru-buru sebelum waktunya".

Tentu saja bila solat dalam keadaan tergesa-gesa, maka cara pelaksanaannya - asal mengerjakan solat, asal selesai, jadi!. Tidak ada ketenangan atau thu-ma'ninah.

Pada zaman Rasulullah SAW ada orang solat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasulullah SAW memerintahkannya untuk mengulanginya lagi kerana solat yang telah ia kerjakan belum sah.

Rasulullah SAW bersabda kepadanya: "Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah dari Al-Qur'an yang mudah bagimu, lalu ruku'lah sampai kamu benar-benar ruku' (thuma'ninah), lalu bangkitlah dari ruku' sampai kamu tegak berdiri, kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud (thuma'ninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu"
- (HR Bukhari dan Muslim)

6) MELAKUKAN GERAKAN-GERAKAN YANG TIDAK PERLU

Dahulu ada seorang sahabat yang bermain kerikil ketika sedang tasyahud. Ia membolak-balikkannya. Melihat hal itu, maka Ibnu Umar segera menegurnya selepas solat. "Jangan bermain kerikil ketika solat kerana perbuatan tersebut berasal dari syaitan. Tapi kerjakan seperti apa yang dikerjakan Rasulullah SAW". Orang tersebut bertanya: "Apa yang dilakukannya?" Kemudian Ibnu Umar meletakkan tangan kanannya diatas paha kanannya dengan jari telunjuk menunjuk ke arah kiblat atau tempat sujud. "Demikianlah saya melihat apa yang dilakukan Rasulullah SAW", kata Ibnu Umar.
- (HR Tirmidzi)

7)MENENGOK KE KANAN ATAU KE KIRI KETIKA SOLAT

Dengan sedar atau tidak, seseorang yang sedang solat memandang ke kiri atau ke kanan, itulah akibat godaan syaitan penggoda. Kerana itu, setelah takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik. Iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dan tidak mudah dicuri oleh syaitan.


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a, ia berkata: "Saya bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hukum menengok ketika solat". Rasulullah SAW menjawab, "Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba".
- (HR Bukhari)

8)MENGUAP DAN MENGANTUK

Rasulullah SAW bersabda: "Menguap ketika solat itu dari syaitan. Kerana itu bila kalian ingin menguap, maka tahanlah sebisa mungkin"
- (HR Thabrani).

Dalam riwayat lain Rasulullah SAW bersabda, "Adapun menguap itu datangnya dari syaitan, maka hendaklah seseorang mencegahnya (menahannya) selagi bisa. Apabila ia berkata ha... bererti syaitan tertawa dalam mulutnya"
- (HR Bukhari dan Muslim)

9) BERSIN BERULANG KALI SAAT SOLAT

Syaitan ingin mengganggu kekusyukkan solat dengan bersin, sebagaimana yang dikatakan Abdullah bin Mas'ud: "Menguap dan bersin dalam solat itu dari syaitan"
- (Riwayat Thabrani).

Ibnu Hajar menghuraikan pernyataan Ibnu Mas'ud, "Bersin yang tidak disenangi Allah SWT adalah yang terjadi dalam solat, sedangkan bersin di luar solat itu tetap disenangi Allah SWT. Hal itu tidak lain kerana syetan memang ingin mengganggu solat seseorang dengan berbagai cara".

10) TERASA INGIN BUANG ANGIN ATAU BUANG AIR

Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang dari kalian bimbang atas apa yang dirasakan di perutnya apakah telah keluar sesuatu darinya atau tidak, maka janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin telah mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya"
- (HR Muslim)

Berbahagialah orang-orang muslim yang selama ini terbebas dari berbagai macam gangguan syaitan dalam solat. Semoga kita semua dibebaskan oleh Allah SWT dari gangguan-gangguan tersebut. Dan bagi yang merasakan gangguan tersebut, sebahagian atau keseluruhannya, janganlah putus asa untuk berjihad melawan syaitan terkutuk.

Cara Syaitan menganggu dalam kehidupan seharian kita:-

Di sini dinyatakan hadis-hadis mengenai perkara ini untuk panduan kita bersama. Iaitu ;

1. Syaitan makan dan minum dengan tangan kiri : Sabda Rasulullah SAW ;



" Apabila seseorang daripada kalian makan, maka makanlah dengan tangan kanannya dan apabila minum, maka minumlah dengan tangan kanannya. Ini kerana sesungguhnya, syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya. "
( Riwayat Imam Muslim)




Berusahalah sedaya-upaya makan dengan tangan kanan walaupun anda seorang yang kidal. Sekiranya anda makan dengan menggunakan sudu dan garpu, suaplah ke mulut dengan tangan kanan agar tidak menyerupai syaitan yang makan dengan tangan kiri.

2. Syaitan minum dan makan dalam keadaan berdiri : Rasulullah SAW melihat seseorang yang minum sambil berdiri. Baginda menegur, " Jangan begitu! " Orang itu bertanya, " Mengapa? " Rasulullah menjawab, " Adakah kamu suka minum bersama kucing? " Orang itu menjawab, " Tidak. " Rasulullah SAW meneruskan:



" Sesungguhnya telah ikut serta minum bersama kamu sesuatu yang lebih buruk daripadanya, iaitu syaitan. "
( Riwayat al-Darimiy dengan sanad yang sahih)




Oleh itu, elakkan minum sambil berdiri kecuali dalam keadaan yang tidak mengizinkan seperti keadaan yang sesak dengan orang ramai atau kawasan yang kotor.

3. Syaitan ketawa apabila menguap sehingga mengeluarkan bunyi : Sekiranya anda menguap, ingatlah itu adalah daripada syaitan. Sabda Nabi Muhammad SAW ;



" Menguap adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang daripada kalian menguap, tahanlah sedaya mungkin kerana sesungguhnya apabila seseorang kalian menguap sambil berbunyi 'Haaa', maka ketawalah syaitan. "
( Riwayat Imam Al-Bukhari)




Jika tidak dapat menahan diri daripada menguap, maka tutuplah mulut dengan tangan dan berusaha tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Ini berdasarkan hadis ;



" Jika seseorang kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka). "
( Riwayat Imam Muslim)




4. Syaitan kencing di telinga : Apabila seseorang itu tidur sehingga pagi hari maka syaitan kencing di kedua belah telinganya seperti di dalam hadis riwayat Imam Al-Bukhari yang bermaksud ;



" Itu ialah orang yang syaitan telah kencing di dalam kedua-dua telinganya atau salah satu telinganya. "




Rasulullah SAW berkata demikian apabila diceritakan kepada baginda tentang seseorang yang tidur sehingga pagi.

5. Syaitan dapat makan, minum dan tempat bermalam : Imam Muslim meriwayatkan hadis yang bermaksud ; Apabila seseorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah dengan membaca 'Bismillah' ketika memasukinya dan ketika ingin makan, berkatalah syaitan kepada golongannya ;



" Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga memiliki makanan malam. "




Sebaliknya apabila seseorang itu memasuki rumah dan tidak mengingati Allah ketika memasukinya, berkatalah syaitan kepada golongannya ;
" Kalian telah mendapat tempat bermalam. "




Apabila seseorang tidak mengingati Allah ketika makan, maka berkatalah syaitan kepada golongannya ;



" Kalian telah mendapat tempat bermalam dan makan malam. "




Menyebut nama Allah ( Bismillah) ini dituntut juga ketika keluar dari rumah, menutup bekas-bekas makanan dan minuman, ketika menutup pintu dan tingkap agar terselamat daripada gangguan syaitan.
6. Syaitan makan sisa-sisa makanan : Apabila Rasulullah SAW makan, baginda menjilat jari-jarinya sebanyak tiga kali. Anas berkata, bahawa Rasulullah bersabda ;



" Jika sesuatu makanan seseorang kalian jatuh, hendaklah dia mengambilnya dan membersihkan sebarang kotoran yang melekat padanya lalu memakannya. Janganlah meninggalkannya untuk syaitan. "




Anas melanjutkan ;



" Rasulullah juga menyuruh kami untuk menghabiskan sebarang sisa makanan. "




Baginda berpesan ;



" Ini kerana kalian tidak tahu di bahagian manakah pada makanan kalian terdapat keberkatan. "
( Riwayat Imam Muslim)




Tidak usahlah anda menjadi pemurah kepada syaitan dengan membiarkan sisa-sisa makanan. Entah berapa ramai yang tamak ketika makan sehingga menyebabkan makanan berlebihan dibiarkan untuk santapan musuhnya sendiri.

7. Orang yang membazir ialah saudara syaitan:



" Siapakah yang telah mempersaudarakan seorang yang membazir dengan syaitan?. "




Allah sendiri yang mempersaudarakan antara keduanya. Firman Allah SWT ;



إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا




Maksudnya :
Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu ialah saudara-saudara syaitan.
(Surah Al-Isra' ayat 27)




8. Syaitan mengganggu ibadat manusia : Sahabat bernama ‘Uthman bin Abi al-‘Ash mengadu kepada Rasulullah SAW ;



" Wahai Rasulullah! Sesungguhnya syaitan menghalang antaraku dan solat serta bacaan Al-Quran ku, dan ia selalu mengelirukan aku. "




Maka Rasulullah menjawab ;



" Itulah syaitan yang disebut sebagai 'Khanzab', maka apabila merasai gangguannya, mohonlah perlindungan Allah dan ludahlah ke kiri sebanyak tiga kali. ‘Uthman bin al-‘Ash kemudian berkata; " Aku melakukan itu dan Allah menjauhkan gangguan syaitan itu dariku. "
(Imam Muslim)





9. Sikap terburu-buru adalah daripada syaitan : Kadang-kadang kita bersikap terburu-buru di dalam melakukan sesuatu perkara yang menyebabkan kita menghadapi kerugian, kualiti kerja yang merosot dan sebagainya. Sikap gopoh dan terburu-buru ini adalah antara hasutan syaitan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ;



" Ketenangan adalah daripada Allah manakala tergesa-gesa adalah daripada syaitan. "
( Imam Al-Baihaqiy)




10. Sikap cemburu adalah daripada syaitan : Cemburu di sini ialah cemburu membabi-buta tanpa bukti dan usul periksa. Seperti hadis Aishah R.A. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud ;



" Apa yang terjadi kepada kamu, wahai Aishah? Adakah kamu cemburu? "

" Takkanlah aku tidak cemburu kepada orang seperti anda? "



Kemudian Rasulullah SAW melanjutkan ;



"Apakah telah datang kepadamu syaitan kamu?"

" Wahai Rasulullah! Apakah bersama aku ada syaitan? "

" Ya. "

" Dan apakah syaitan itu ada di setiap manusia? "

" Ya. "

" Apakah syaitan juga bersama kamu wahai Rasulullah? "

" Ya, akan tetapi Tuhanku telah menolongku daripadanya. "




11. Perasaan marah adalah daripada syaitan : Apabila seseorang itu di dalam keadaan marah, syaitan menguasai dirinya sehingga sanggup melakukan perkara di luar batas kemanusiaan. Perkara ini boleh diatasi dengan membaca 'istiqhfar' . Sulaiman Bin Surd berkata ; Ketika aku sedang duduk bersama Nabi SAW, terdapat dua orang sedang bertengkar sehingga salah seorang daripada mereka menjadi merah wajahnya dan urat-urat lehernya timbul. Maka Nabi SAW bersabda ;



" Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang jika diucapkan nescaya kemarahannya akan hilang. Iaitu sebutlah 'A'uzubillahi minash syaitan' nescaya kemarahannya akan hilang. "
( Imam al-Bukhari)



12. Syaitan gemar berkeliaran pada waktu senja :



Kita sering dilarang oleh ibu bapa kita supaya tidak berada di luar rumah pada waktu senja. Pesanan ini berasal daripada Rasulullah SAW yang bermaksud ;



" Apabila malam menjelang tiba, maka tahanlah anak-anak kalian (daripada keluar) kerana sesungguhnya pada waktu itu syaitan-syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu waktu Isya', maka lepaskanlah mereka. "
(Imam Al-Bukhari)




13. Pasar adalah tempat kegemaran syaitan : Tempat-tempat seperti ini merupakan tempat syaitan melepak. Rasulullah SAW bersabda ;
" Selagi mampu, janganlah menjadi orang yang pertama memasuki pasar dan janganlah menjadi orang terakhir yang keluar dari pasar kerana sesungguhnya pasar ialah medan tempur syaitan dan di situlah benderanya dipacakkan. "
( Imam Muslim)




Pada masa kini pusat membeli belah, pasaraya dan bursa saham juga termasuk di dalam hadis di atas.

14. Syaitan boleh membesar seperti rumah :



Imam Ahmad Bin Hanbal dalam musnadnya meriwayatkan dari seseorang yang dibonceng oleh Nabi SAW. Dia berkata , " Tunggangan Nabi SAW tergelincir, maka aku katakan celaka syaitan. " Nabi SAW bersabda :



" Janganlah kalian menyebut 'Celakalah syaitan!' kerana apabila engkau mengatakannya, syaitan akan membesar sehingga sebesar rumah dan berkata, 'Demi kekuatanku!' . Sebaliknya sebutlah 'Bismillah!' kerana apabila engkau mengatakannya syaitan akan mengecil sehingga sekecil lalat. "


Demikian sebahagian himpunan hadis-hadis yang berkaitan dengan syaitan. Semoga perkongsian ini dapat membantu kita untuk lebih berhati-hati dalam menjalani kehidupan seharian agar selamat dan terpelihara daripada musuh nombor satu. Mudah-mudahan kita semua sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah SWT daripada muslihat, godaan dan tipu daya syaitan.

Sunday 15 April 2012

Permulaan Hidayah: Taubat Nasuha

Assalamualaikum w.b.t.....semoga Allah s.w.t. merahmati saudara-saudari sekalian. Episod yang lepas, saya telah membicarakan tentang usaha atas iman. Sebelum kita hendak mengislahkan atau usaha atas iman diri kita sendiri, terlebih dahulu kita bertaubat nasuha. Ini penting untuk mencuci dosa kita sebelum hati kita betul-betul hendak menerima fahaman Islam yang sebenar. Ada 3 rukun dalam taubat nasuha:-

(i) Menyesali dosa besar dan dosa kecil yang telah kita buat pada masa lalu. Kita kena menangis dengan tangisan yang menyesal kerana telah melanggar perintah Allah s.w.t. Kita kena merasa bahawa dosa yang kita buat telah memusnahkan diri kita sendiri sebenarnya. Kita kena sedar bahawa kita perlu bertaubat daripada melakukan dosa besar mahupun dosa keci. Dosa kecil terampun melalui amal soleh manakala dosa besar terampun melalui taubat nasuha.

(ii)Tidak akan mengulangi dosar besar dan dosa kecil yang telah kita buat pada masa lalu. kita kena berhenti terus daripada melakukan maksiat terhadap Allah s.w.t. Kita kena menyakini bahawa apabila kita berhenti daripada melakukan maksiat maka Allah s.w.t. akan mencampakkan perasaan benci dalam hati kita terhadap maksiat dan memberikan kekuatan kepada kita untuk amalkan agama dengan mudah. Kita kena sedar bahawa jika kita masih mengulangi dosa besar dan dosa kecil maka sukar untuk kita berhenti daripada melakukan maksiat. Maksiat akan terhenti jika kita tak nak melakukannya lagi.

(iii)Mengembalikan hak Allah dan hak manusia. Kita kena mengembalikan hak Allah apabila kita meninggalkan perintahNya seperti solat fardu, puasa di bulan Ramadhan, zakat dan haji. Caranya ialah dengan menqada'kan solat, puasa dan sebagainya. Selain itu, kita kena mengembalikan hak manusia. Sebelum ini, kita telah mencaci, menfitnah, mengumpat, tidak bayar hutang, memukul dan sebagainya terhadap orang Islam. Sekarang, kita kena minta maaf kepada mereka kerana telah menyakiti hati mereka atau membayar hutang mereka.

Kesimpulannya, seseorang yang mahu untuk memperbaiki,islahkan atau usaha atas iman diri mereka sendiri hendaklah bertaubat nasuha terlebih dahulu dengan berpandukan 3 rukun seperti di atas. Hal ini akan memudahkan proses untuk menerima ilmu agama yang penuh dengan nur. Jika hati gelap maka susah untuk hati menerima 'nur' agama. Jika hati terang maka mudah untuk hati menerima 'nur' agama.

Thursday 12 April 2012

Permulaan Hidayah: Usaha atas iman berdasarkan al-Quran dan Hadisth

Assalamulaikum, tuan-tuan dan puan-puan yang di muliakan oleh Allah s.w.t. Episod yang lalu saya membicarakan tentang persediaan mati dengan cara usaha atas iman. Pada kali ini, saya akan menerangkan apa itu usaha atas iman:-

(1) Usaha atas iman ialah suatu usaha untuk mengamalkan keseluruhan amalan agama dalam kehidupan kita.

(2) Usaha atas iman ialah wajib atau fardu ain ke atas setiap individu muslim.

(3) Usaha atas iman mesti ikut cara Rasulullah s.a.w.

(4) Usaha atas iman mesti ada pengorbanan, mujahadah dan susah payah.

(5) Usaha atas iman mesti korban harta yang dimiliki oleh diri sendiri.

(6) Usaha atas iman mesti melapangkan masa untuk keluar ke jalan Allah s.w.t. Bukannya menunggu masa lapang.

(7) Usaha atas iman mesti sediakan diri sendiri untuk turut serta keluar ke jalan Allah s.w.t.

(8) Usaha atas iman ialah setiap muslim mesti wujudkan sifat "TABLIGH" dalam diri mereka.

(9) Usaha atas iman bukan niat untuk islahkan orang lain tetapi niat untuk islahkan diri sendiri.

(10) Usaha atas iman tidak dapat menambah keimanan dengan hanya membaca artikel ini bahkan dia perlu melibatkan atau mengabungkan diri dia untuk berada dalam jamaah yang mengusaha atas iman dengan keluar ke jalan Allah s.w.t. selama 4 bulan, 40 hari atau 3 hari. Insyallah....

Wednesday 11 April 2012

Permulaan Hidayah: Persiapan untuk mati

Assalamualaikum...selamat datang ke blog Muzakarah Iman dan Amal. Semoga Allah merahmati kehidupan kita sehingga ke hari kiamat. Episod yang lalu, saya telah membicarakan berakhirnya kehidupan kita dengan kematian sambil kita bertafakur tentang saat-saat kematian kita nanti. Insyallah, episod kali ini saya akan membicarakan tentang persiapan untuk mati. Adakah anda sudah bersedia untuk mati? Dan adakah anda sudah membuat persiapan untuk menghadapi alam selepas mati?

(1) Persediaan untuk mati adalah mengusahakan iman dan kekalkan iman dalam diri sehingga akhir hayat. Apabila seseorang meninggal dunia, soalan yang akan di ajukan oleh malaikat di alam kubur berkaitan dengan iman. Jika sempurna iman kita, maka kita selamat di alam kubur. jika tidak sempurna iman kita, maka kita terseksa di alam kubur.

(2) Untuk dapatkan iman, perlu ada usaha. Setiap orang berusaha dan yakin akan dapat ganjaran tentang usahanya itu. Contoh, seorang pekebun mengusaha pertanian dan dia yakin akan dapat hasil daripada pertaniannya. Begitu juga seorang pemerintah memerintah sebuah kerajaan dan dia yakin akan dapat manfaat daripada kerajaannya. Tapi, sekarang ini, ramai yang tidak berusaha untuk meningkatkan keimanannya. Jadi, dia tidak berasa ada manfaat daripada amalan agamanya.

(3) Setiap orang bersusah payah untuk meningkatkan pendapatannya sehingga dia yakin dapat banyak manfaat daripada duitnya yang banyak. Maka, nilai duit akan menjadi terlalu bernilai untuk dirinya sehingga dia yakin tidak ada yang lebih bernilai selain duit. Jadi, dia sanggup menghalalkan segala cara untuk dapatkan duit yang banyak termasuk menerima rasuah, merompak, pecah amanah dan sebagainya. Apabila nilai kebendaan sentiasa di usahakan maka nilainya menjadi tinggi. Apabila nilai kemanusiaan atau islah diri di tinggalkan maka nilai moral, agama, akhlak dan sebagainya menjadi rosak.

(4) Apabila seseorang mengislahkan atau memperbaiki diri sendiri maka dalam diri dia lahir sifat-sifat yang baik seperti rajin beribadat, buat dakwah, akhlak yang baik, sentiasa belajar ilmu agama dan sebagainya. Dan apabila seseorang mengajak orang lain untuk turut sama mengislahkan atau memperbaiki diri maka orang yang mengikut tersebut akan lahir dalam dirinya sifat-sifat yang baik sepertimana orang yang mengajak.

(5) Untuk memudahkan mengamal keseluruhan amal agama melalui 2 cara: (i) Mengajak orang kepada amal soleh (ii) Dia sendiri mengamalkan amal soleh tersebut. Contoh, dia lemah dalam membaca al-quran. Jadi, dia mengajak orang kepada kelebihan atau fadhilat membaca al-quran bukan kerana orang tersebut tidak selalu membaca al-quran, kerana apabila dia dakwah, dia akan dapat kesan untuk menyakini kelebihan membaca al-quran. Selepas itu, dia beramal dengan membaca al-quran.

(6) Untuk memudahkan mengamal keseluruhan agama dalam kehidupan perlu kepada yakin akan janji-janji Allah s.w.t. pada setiap amal. Untuk mendapatkan yakin, kita perlu banyak dakwah tentang amal. Contoh, seseorang yang sentiasa dakwah tentang solat yang mempunyai banyak kelebihan seperti dosa kita terhapus. Maka, kita akan yakin apa yang kita dakwahkan, kita akan mudah untuk amalkan apa yang kita dakwahkan.

(7) Jika seseorang banyak buat dakwah, dia mempunyai keyakinan yang tinggi pada amal dan mudah untuk beramal. Jika seseorang kurang buat dakwah, dia kurang yakin pada amal dan susah untuk beramal.

(8) Iman adalah benda yang hidup dan untuk mendapatkan benda yang hidup mesti daripada sesuatu benda yang hidup. Contoh, jika seseorang mahu untuk meningkatkan amal solehnya baik dari segi ilmu, dakwah, ibadat atau akhlak, maka dia perlu kepada suasana amal soleh. Melalui keadaan tersebut, mata zahirnya melihat keadaan orang beramal, maka kesan penglihatan terus ke otak. Dan otak membenarkan apa yang di lihatnya. Kesan membenarkan apa yang dilihat terus mengalir ke hatinya. Lalu hati menyakini bahawa amal tersebut mudah untuk di amal.

(9) Ada dua faktor mengapa kehidupan kita selama ini gagal menepati kehidupan seperti kehidupan Rasulullah s.a.w. (i) Tidak mengamalkan keseluruhan agama dalam kehidupan. (ii) Tidak yakin dengan janji-janji Allah pada setiap amal.

(10) Selain itu,persiapan mati ialah dua cara iaitu banyak membaca al-Quran dan banyak merenung tentang kematian. Untuk mendapatkan semangat untuk beramal dengan 2 cara tersebut, kita perlu kepada suasana dakwah.

Tuesday 10 April 2012

Permulaan Hidayah: Bertafakur tentang kematian

Assalamualaikum, saudara dan saudari sekalian. Alhamdulillah bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana telah memberi seribu macam nikmat kehidupan kepada kita. Episod yang lalu saya telah membicarakan tentang tujuan kita hidup di dunia ini. Sekarang, saya akan membicarakan tentang berakhirnya kehidupan kita di dunia ini dengan kematian. Saya ingin mengajak para pembaca supaya kita dapat sama-sama bertafakur, merenung, memikirkan, mendalami atau menghayati tentang kematian.

(1) Apabila kita sentiasa memikirkan tentang kematian maka kita lebih banyak menangis daripada ketawa. Cuba bayangkan bagaimana keadaan kita di alam kubur?

(2) Apabila kita sentiasa memikirkan tentang kematian maka kita lebih banyak beramal daripada melakukan dosa. Berapa banyak amal yang telah kita buat dan berapa banyak dosa yang telah kita buat?

(3) Seseorang yang beriman lebih sukakan maut kerana dia ingin berjumpa dengan Pencipta Maut. Adakah kita cintakan maut?

(4) Tiada sesiapa yang boleh lari daripada maut walaupun dia terlalu sibuk mengurus urusan dunia. Adakah kita mempunyai alasan kukuh untuk elak daripada berjumpa dengan malaikat maut?

(5) Semua mahkluk ciptaan Allah yang mati akan terhenti daripada segala ikhtiar atau usaha untuk beramal soleh. Adakah kita merasa cukup dengan amalan soleh kita?

(6) Rasulullah s.a.w. yang maksum bebas daripada dosa apabila menghadapi sakaratulmaut, dahi beliau kedinginan, beliau merasa begitu sakit apabila roh mahu keluar daripada jasadnya. Cuba bayangkan bagaimana keadaan kita yang hari-hari buat dosa apabila menghadapi sakaratul maut?

(7) Apabila seorang yang beriman meninggal dunia, kubur akan menyambut dengan panggilan mesra dan memuji si mati serta kubur akan membuka seluas mata memandang. Pintu dari syurga akan terbuka untuk memberi kewangian syurga di dalam kubur. Adakah kita yakin bahawa kita salah seorang yang akan mendapat ganjaran ini?

(8) Apabila seorang yang tidak beriman meninggal dunia, kubur akan menyambut dengan panggilan benci dan membenci si mati serta kubur akan menghimpit badannya sehingga tulang rusuknya berceragah di antara satu sama lain. 70 ekor ular akan mematuknya sehingga ke hari kiamat. Jika bisa ular itu terkena rumput di dunia ini maka tidak akan tumbuh sehingga ke hari kiamat. Adakah kita berasa bahawa kita bukan salah seorang yang akan mendapat seksaan ini?

(9) Siapa tuhan kamu? Siapa nabi kamu? Apa kitab kamu? Siapa saudara kamu? Soalan-soalan daripada malaikat sewaktu menyoal kita dalam kubur. Adakah kita merasa yakin dapat menjawab soalan-soalan dalam kubur?

(10) Kubur adalah salah satu daripada taman-taman syurga atau salah satu daripada lembah-lembah neraka. Jadi, kita mahu pilih yang mana satu?

Sunday 8 April 2012

Permulaan Hidayah: Suatu Pengenalan

Assalamualaikum, saudara dan saudari. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi kerana memberi kesempatan atau peluang kepada kita untuk terus hidup di muka bumi. Sesungguhnya kehidupan kita di dunia ini BUKAN bererti kehidupan untuk kita 'hidup' dengan merasai segala keseronokan dan kesenangan. Sebaliknya, kehidupan kita di dunia ini adalah kehidupan untuk 'mati'. Ya, kehidupan untuk mati. Mengapa?. Segala pejuangan yang telah kita buat selama ini adalah pejuangan dengan mati!. Pejuangan kita berakhir dengan kematian.

Apa maksud mati?. Mati adalah roh kita terkeluar daripada jasad kita. Mati adalah berakhirnya segala usaha kita di dunia ini. Mati adalah terputusnya rezeki kita di dunia ini. Semua dikalangan kita samada orang bandar,orang desa, orang terpelajar, orang jahil, lelaki, perempuan, tua, muda, ibu, bapa, anak, majikan, pekerja dan sesiapa yang hidup di muka bumi akan merasai sakaratul maut. Malaikat maut akan mencabut nyawa manusia yang di perintahkan oleh Allah tanpa ada 'signal' atau tanda-tanda amaran. Malaikat Maut cabut terus nyawa tanpa memperdulikan manusia itu mempunyai urusan yang penting atau tidak. Seseorang ibu yang sibuk menjaga anak yang masih dalam kandungan, yang masih dalam susuan atau yang sudah besar tidak dapat lari dari sakaratul maut. Seorang ayah yang sibuk mencari rezeki untuk menyara keluarganya yang miskin tak dapat lari dari sakaratulmaut. Tiada siapa yang boleh kata 'Aku Tak Nak Mati.'

Mati adalah matlamat pejuangan kita di dunia ini. Setiap perjuangan memerlukan perancangan yang rapi untuk mencapai matlamat yang di ingini. Jika perjuangan kita merupakan perjuangan untuk mendapatkan dunia semata-mata dan meninggalkan akhirat maka perjuangan kita adalah gagal. Mengapa gagal?. Apabila roh sudah terkeluar dari jasad kita maka segala harta benda dan keluarga kita tinggalkan. Yang bersama dengan kita adalah iman yang yakin dan amal yang soleh. Jika perjuangan kita merupakan perjuangan untuk mendapatkan akhirat tanpa meninggalkan keperluan dunia maka perjuangan kita adalah berjaya.

Dunia bukannya bererti kita tinggalkan dunia. Dunia adalah keperluan dalam kehidupan kita. Apa keperluan kehidupan kita?. Keperluan kehidupan kita ada 5 jenis. (1) Rumah (2) Makanan (3) Pakaian (4) Isteri (5) Kenderaan. Mengapa kita hanya perlu kepada 5 asas jenis keperluan dunia ini?. Tujuannya untuk memudahkan kita mengerjakan perintah Allah dan meninggalkan larangannya dan ikut sunnah Rasulullah s.a.w.

Apa yang di maksudkan dengan keperluan dunia yang pertama iaitu rumah?. Rumah bukan bererti rumah yang besar, mewah dan cantik. Rumah ialah sekadar tempat perlindungan yang selesa di diami dan suasana di dalam rumah di penuhi dengan suasana amal seperti solat sunat, membaca al-Quran, berzikir atau berwirid, dakwah, belajar agama dan mengajar agama, saling menunai hak sesama manusia dan sebagainya. Sebagai contoh semasa zaman kegemilangan Islam di Madinah, apabila ada jemaah yang baru memeluk agama Islam atau mualaf, Rasulullah s.a.w. akan menghantar mereka ke rumah para sahabat r.a. Di dalam rumah sahabat r.a., mereka akan di ajar tentang solat, surah pendek dari al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Di samping itu, para sahabat r.a. yang menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka seperti alas tidur yang selesa, makanan yang lazat dan sebagainya. Ini bererti rumah para sahabat r.a. adalah salah satu madrasah selain masjid di Madinah. Jadi, kita kena azam untuk jadikan rumah kita salah satu madrasah agama. Insyallah...

Keperluan dunia yang kedua ialah makanan. Maksud makanan di sini bukan bermaksud kalau tak ada makanan sehari di dalam rumah adalah salah satu masalah besar bagi kita. Bukan begitu!. Makanan yang di maksudkan ialah makanan yang cukup untuk mengenyangkan ahli rumah kita dengan bertujuan untuk memudahkan mereka selesa beribadat kepada Allah. Sebaik-baik penyediaan makanan adalah penyediaan untuk hari ini dan hari esok. Bajet untuk membeli barang makanan untuk hari ini dan esok. Stok makanan untuk makan hari ini dan esok. Hal ini untuk mengelak daripada berlakunya pembaziran dalam makanan jika makanan tersebut tidak habis di makanan. Konsep paling senang untuk di fahami ialah 'Bila lapar dan payah untuk beribadat, maka kita makan. Bila makan dan dapat tenaga sedikit, maka kita berhenti makan." Makan sekadar keperluan untuk dapatkan tenaga bagi memudahkan beribadat kepada Allah.

Keperluan dunia ketiga ialah pakaian. Sebaik-baik pakaian bukannya untuk bermegah-megah. Sekadar untuk menutupi badan kita.

Keperluan dunia ke empat ialah isteri. Sebaik-baik isteri ialah isteri yang solehah.

Keperluan dunia yang ke lima ialah kenderaan. Sebaik-baik kenderaan ialah kenderaan yang memudahkan kita untuk beribadat kepada Allah seperti mudah untuk solat jemaah di masjid.

Secara kesimpulan untuk Permulaan Hidayah : Suatu Pengenalan adalah untuk mengingatkan kita tentang tujuan kita hidup di dunia ini. Apa maksud kita hidup di dunia ini?. Kita hidup di dunia ini umpama seorang pengembara yang lalu di sebuah batang pokok yang rendang. Kemudian, pengembara tersebut berehat di bawah pokok tersebut untuk melepaskan keringat atau keletihan. Setelah berpuas berehat, pengembara tersebut beredar dari pokok tersebut. Begitu juga kehidupan kita di dunia ini hanyalah sementara. Sepertimana kita selalu pergi ke tandas untuk membuang air kecil atau air besar. Tidak ada sesiapapun yang sanggup menjadikan tandas sebagai rumah kediaman yang kekal walaupun tandas adalah keperluan utama kehidupan manusia. Begitu juga kita jangan jadikan dunia tempat kehidupan kekal kita walaupun dunia adalah keperluan utama kehidupan manusia. Jadi, fikir-fikirkanlah, selamat beramal dan sampaikan kepada sesiapa yang belum melawat blog ini.....