Wednesday 21 August 2013

10 Tokoh Paling Berpengaruh Di Malaysia

Berdasarkan kajian saya, 10 tokoh yang paling berpengaruh di Malaysia kerana sumbangan mereka yang meliputi pelbagai bidang seperti politik, ekonomi, sosial, agama dan budaya. Kesan sumbangan mereka telah membolehkan kita menikmati kehidupan di Malaysia penuh aman dan harmoni. Tokoh yang saya maksudkan adalah:-
(1) Tun Bendahara Perak
Bendahara Seri Paduka Raja Tun Perak bin Tun Perpatih Sedang (mati 1498) ialah Bendahara Melaka yang ke-5 adalah Bendahara yang termasyhur antara semua bendahara Melaka. Pangkat ini yang membawa gelaran "Bendahara Paduka Raja" dalam Kesultanan Melayu Melaka adalah setanding dengan Perdana Menteri moden. Tun Perak, bersama-sama dengan Aria Gajah Mada dari Majapahit, dan Raja Kenayan dari Pasai, telah dianggap sebagai tiga orang pentadbir yang teragung di alam Melayu pada abad ke-15.
Tun Perak ialah anak Bendahara Seri Wak Raja dan beliau telah menjadi Penghulu Kelang dari tahun 1445 ketika berlangsungnya permusuhan antara kerajaan Siam dan Melaka. Maka, Tun Perak diperintahkan untuk datang ke Melaka bersama-sama orang Kelang yang lain, lelaki mahupun perempuan. Tindakan Tun Perak membawa sekali golongan perempuan menimbulkan persoalan pada Sultan Muzaffar Syah kerana mereka dikehendaki berperang. Tun Perak memberi alasan bahawa kedatangan perempuan adalah supaya lelaki akan berperang lebih bersungguh-sungguh untuk melindungi anak dan isteri mereka.
Setelah menewaskan percubaan Siam untuk menakluk Melaka pada tahun 1446, beliau dilantik oleh baginda Sultan Muzaffar Syah sebagai Bentara.

Setelah Tun Perak menjadi Bentara, beliau tidak digemari oleh Tun Ali, iaitu Bendahara ketika itu. Tun Ali yang berketurunan Tamil ketika itu sudahpun lanjut usianya. Perkara tersebut mengkhuatirkan sultan yang hendak melantik Tun Perak sebagai pengganti Tun Ali. Disebabkan risau dengan perbalahan antara pembesar yang memungkinkan kejatuhan pentadbiran negara, baginda mengahwinkan Tun Ali dengan Tun Kudu Tun Perpatih Sedang, iaitu kakak kepada Tun Perak dan isteri baginda sendiri. Baginda yang sanggup menceraikan Tun Kudu menerima keputusan yang dijangkakan bahawa Tun Ali sudahpun berbaik dengan Tun Perak.
Kemudian, baginda melantik Tun Perak sebagai Bendahara yang bergelar Paduka Raja pada tahun 1456 sementara Tun Ali, Bendahara keempat, diantik sebagai Penghulu Bendahari dengan gelaran Seri Nara Diraja.
Ketika Tun Perak menjawat jawatan Bendahara, beliau telah menakluk negeri-negeri di pantai Selat Melaka seperti Rokan, Siak, Kampar dan Inderagiri di pulau Sumatera serta Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak yang menjadikan semua negeri ini sebagai jajahan takluk Melaka manakala Kedah pula menjadi negeri naungan Melaka. Dengan ini, Melaka telah menjadi sebuah empayar yang besar. Tidak kurang juga bagi aspek lain apabila Melaka membangun sehingga mencapai kekuatan dari segi politik, sosial, dan ekonominya. Kepesatan pembangunan di Melaka telah menarik banyak pedagang asing dari China, India, Timur Tengah, serta negara-negara jiran yang lain.

Sebagai Bendahara Melaka yang berpengaruh, Tun Perak mempunyai kuasa untuk melantik raja Melaka. Lazimnya, beliau akan memilih raja yang mempunyai perkaitan persaudaraan dengannya. Sebagai contoh, Sultan Alauddin Riayat Syah yang dilantik beliau merupakan anak saudara beliau.
Tun Perak juga telah meletakkan Raja Muhammad, putera sulung Sultan Perak menjadi Raja Pahang tetapi bukan sebagai Raja Melaka. Keputusan itu dibuat berikutan peristiwa Raja Muhammad membunuh Tun Besar, anak Tun Perak dalam satu permainan sepak raga.
Sultan Alaudin Riayat Syah pula mangkat pada 1488 dan lazimnya, putera sulung baginda, Raja Menawar akan dilantik sebagai raja tetapi baginda hanya dilantik sebagai Raja Kampar manakala putera Sultan Alaudin yang lebih muda yang juga merupakan cucu Tun Perak iaitu Raja Mahmud, telah dilantik sebagai Sultan Mahmud.
Beliau meninggal dunia pada tahun 1498 ketika pemerintahan Sultan Mahmud Syah setelah bernaung di bawah empat pemerintahan sultan iaitu Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan Mahmud Syah. Setelah kematian beliau, baginda sultan melantik Tun Perpatih Putih, adik Tun Perak sebagai Bendahara Melaka yang ke-6.

(2) Tun Dr. Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir bin Mohamad (Tulisan Jawi: محضير بن محمد, dilahirkan pada 10 Julai 1925[1]). Beliau yang cukup dikenali dengan "Dr. M" merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Menggunakan nama timangannya sendiri, "Che Det" sebagai nama pena, beliau banyak menulis dengan artikel pertamanya disiarkan oleh akhbar The Straits Times Singapura pada 20 Julai, 1947 bertajuk “Malay Women Make Their Own Freedom” (Wanita Melayu Mencipta Kebebasan Sendiri).[2]. Ketika penggal kepimpinannya dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003, beliau berjaya membawa pembangunan melalui dasar-dasar dan perancangan yang diilhamkan dari kejayaan negara-negara luar sehingga mengangkat Malaysia ke pentas dunia sebagai salah sebuah negara yang berdaya maju di Asia Tenggara sehingga pernah dinamakan sebagai salah sebuah negara 'Harimau Ekonomi Asia'[3].
Usaha beliau yang paling diingati masyarakat Malaysia dan antarabangsa adalah ketika membawa Malaysia keluar dari Krisis Kewangan Asia 1997 dimana beliau telah menolak cadangan dan juga dana bantuan dari IMF yang beliau sifatkan akan memburukkan lagi krisis. Langkah-langkah radikal yang diambil[4] dikiritik hebat ketika itu oleh banyak pihak termasuk IMF sendiri. Malah, usaha tersebut turut dikecam walaupun lama selepas kemelut berakhir[5] dimana beliau menyatakan kecaman dan pujian adalah norma ahli politik dan terserah kepada penilaian mana-mana pihak[6].
Beliau merupakan seorang tokoh politik yang bersifat vokal berhubung isu-isu antarabangsa sehingga ada yang mencetuskan kontroversi. Beliau menyokong "Sistem Ekonomi Pasaran" terkawal[7] sebagai alternatif kepada "Sistem Ekonomi Persendirian" dan secara amnya menolak "Pasaran Bebas" (laissez-faire)[8].
Gaya pemerintahan Dr. Mahathir juga sering kali dikritik dengan dilabelkan sebagai autokratik oleh pelbagai pihak termasuk badan dan media antarabangsa (contohnya, tajuk artikel tentang persaraan beliau oleh The New York Times menyimpulkan sifat autokratik beliau sepanjang karier politiknya[9]) terutama berhubunng Akta Keselamatan Dalam Negeri yang beliau terangkan sebagai tindakan pencegahan yang hanya diambil atas desakan semasa (penjelasan beliau diterima dan ditolak pembaca dengan pelbagai hujah)[10]. Selain itu, beliau tidak dapat lari dari tuduhan kronisme seperti pemimpin-pemimpin lain di dunia.
Antara projek-projek berprofil tinggi (juga digelar 'projek mega') yang dibangunkan pada zaman pentadbirannya termasuk Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Koridor Raya Multimedia (MSC), Pusat Pentadbiran Putrajaya dan Litar Antarabangsa Sepang.
Bersara pada Oktober 2003, Dr Mahathir dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun. Beliau turut dinobatkan sebagai "Bapa Pemodenan Malaysia" kerana berjaya membangunkan Malaysia menjadi sebuah Negara industri baru yang disegani di kalangan negara-negara membangun. Tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri menjadikan beliau sebagai pemimpin kedua paling lama yang memegang jawatan tersebut di Asia Tenggara selepas Presiden Suharto dari Indonesia.

(3) Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj
 Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah (8 Februari 1903 - 6 Disember 1990) merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari 1955, dan Perdana Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaiannya yang teragung. Biasanya dikenali sebagai "Tunku", beliau juga dikenang sebagai "Bapa Kemerdekaan" dan "Bapa Malaysia".

(4) Tun Abdul Razak Hussein
Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Haji Dato' Hussein (11 Mac 1922 - 14 Januari 1976) merupakan Perdana Menteri Malaysia kedua yang berkhidmat dari tahun 1970 sehingga 1976. Beliau termasyhur dalam pelancaran Dasar Ekonomi Baru (NEP) (1971) yang bertujuan untuk mengatasi masalah ketidaksamaan ekonomi dan sosial yang telah membangkitkan antagonisme perkauman dalam kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum. Selepas kematiannya, beliau telah dikenang sebagai "Bapa Pembangunan".

(5) Tun Daim Zainuddin
Tun Daim Zainuddin (lahir 11 November 1938) merupakan bekas Menteri Kewangan Malaysia, dan usahawan yang terkenal.
Sepanjang beliau memegang jawatan Menteri Kewangan, beberapa projek penswastaan telah dijalankan dan akhirnya berkesan.
Polisi beliau yang terkenal ialah, pinjam daripada dalam negeri dan biarkan wang itu berkitar semula untuk dalam negeri.
Malaysian Airline System Bhd., (MAS) Tenaga Nasional Bhd., (TNB), Airod, Projek Lebuhraya Utara Selatan dan sebagainya adalah contoh kejayaan dasar penswastaan. Bukan itu sahaja, Daim telah berjaya menghasilkan ramai usahawan Melayu, korporat-korporat Melayu menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB).

(6) Dato Onn Jaafar
Dato' Onn Jaafar (12 Februari 1895 - 19 Januari 1962) merupakan pengasas dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Beliau pernah dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada 1 Jun 1947 tetapi beliau telah meletakkan jawatan tiga tahun kemudian iaitu pada 18 Mei 1950 untuk menumpukan perhatiannya kepada UMNO.

(7) Tun Dato Sri Sir Cheng Lock Tan
Tun Dato Sri Tan Cheng Lock (Cina Ringkas: 陈祯禄; Cina Tradisional: 陳禎祿; pinyin: Chén Zhēnlù, 5 April 1883-13 Disember 1960) ialah seorang pemimpin politik Cina di Tanah Melayu yang merupakan presiden pertama Persatuan Cina Tanah Melayu (MCA) pada tahun 1949.
Dalam tempoh hampir 40 tahun, Tan memberikan pimpinan dan berjuang untuk politik, pendidikan, dan kebajikan masyarakat orang-orang Cina di Tanah Melayu. Dalam perjuangannya, beliau mempergunakan arena-arena politik dan ekonomi. Selain daripada menggunakan perdebatan, ucapan, kritikan dan ulasan, beliau juga mempergunakan memorandum dan petisyen dalam pengemukaan persoalan-persoalan. Seorang peranakan yang, berbeza dengan pendatang-pendatang Cina di Tanah Melayu, merupakan rakyat British, ini adalah asas untuk kebangkitan pengaruh beliau di bawah pemerintahan British.

(8) John A. Thivy
 John A. Thivy merupakan Presiden MIC ("Kongres India Se-Malaysia") yang pertama (1946-1947). Beliau memimpin Kongres India Se-Malaysia semenjak Kongres India Se-Malaysia ditubuhkan pada Ogos 1946 bertujuan menamatkan pemerintahan Koloni British, dan juga bagi mewakili keperluan masyarakat India semasa selepas Perang Dunia II.

(9) Parameswara
 Parameswara (1344-1414[1] ) merupakan seorang Raja Temasek yang berketurunan diraja Srivijaya yang menubuhkan kerajaan Melaka pada 1402.
Parameswara melarikan diri ke Semenanjung Tanah Melayu untuk mendirikan penempatan baru. Di Muar, Parameswara dikatakan berhasrat mendirikan negeri barunya samada di Biawak Busuk atau Kota Buruk. Bagaimanapun, setelah mendapati Muar tidak sesuai baginda membatalkan hasratnya dan meneruskan perjalanan ke utara. Di tengah perjalanannya, baginda dikatakan singgah di Sening Ujung (nama lama Sungai Ujong) sebelum sampai ke sebuah kampung nelayan di muara Sungai Bertam (nama lama Sungai Melaka). Di sinilah baginda mendirikan ibu kota baru untuk negerinya dan menamakannya Melaka. Menurut catatan Sejarah Melayu, di sinilah baginda melihat seekor kancil menendang seekor anjing ketika baginda berehat di bawah pohon Melaka. Menganggapnya sebagai tanda "tuah", baginda menamakan negeri itu Melaka.
Negeri Melaka kemudiannya meneruskan warisan Srivijaya sebagai sebuah entiti politik Melayu di kepulauan Melayu.[6][7]
Parameswara yang menjadi raja Melaka ketika itu dikatakan menyedari bahawa usaha untuk memajukan Melaka adalah dengan memperkembangkan Islam kerana pedagang dari Gujerat , India dan pedagang Arab dari Timur Tengah ramai berdagang di Nusantara. Oleh itu, menurut cerita itu, Parameswara berkahwin dengan Puteri Ratna anak Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Amin Syah II, Raja Perlak dan memeluk Islam pada 1414. Baginda Parameswara kemudian memakai gelaran Raja Iskandar Shah.
Tanggapan yang umum itu berasal daripada tanggapan bahawa Parameswara dan Sultan Megat Iskandar Shah adalah tokoh yang sama. Kajian telah menunjukkan [nyatakan menurut siapa?] bahawa kedua-dua nama itu adalah dua tokoh yang berasingan (Wang Gungwu, 1968). Sebenarnya, Parameswara telah mangkat pada tahun 1414. Menurut laporan Ma Huan, Megat Iskandar Shah memeluk Islam ketika berumur 72 tahun kerana mengahwini puteri Raja Pasai dari Sumatera. [1]
Melaka kemudiannya telah menjadi satu pelabuhan perniagaan yang terpenting di Asia Tenggara di mana kapal-kapal perniagaan dari pelbagai bangsa berhimpun.
Pengiktirafan armada Laksamana Cheng Ho terhadap Melaka semakin menguntungkan Melaka. Cheng Ho atau Zheng He seorang yang beragama Islam. Nama asal Cheng Ho ialah Ma He. Ma bermaksud Mahmud. Ketika itu China ditadbir oleh Maharaja Yung Lo.
Kekuatan Kerajaan Melayu Melaka semakin terserlah di zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah ( 1446- 1459 M) .Tenteranya berjaya menyekat serangan-serangan tentera Siam. Keadaan negara negara menjadi tenang dan kedudukan politiknya pula stabil.

(10) Tan Sri P. Ramlee
 P. Ramlee (dilahirkan sebagai Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh; 22 Mac 1929 - 29 Mei 1973) merupakan seorang penyanyi, pelakon, pengarah, pemuzik dan penulis lagu yang berasal dari Pulau Pinang, Malaysia. Beliau juga digelar sebagai "Seniman Agung Negara" kerana jasanya yang amat besar dalam industri hiburan terutamanya di rantau Asia Tenggara. Beliau pernah mendapat pengiktirafan yang meluas dari dalam dan luar negara di sepanjang hidupnya hinggalah selepas kematiannya.

Beliau mula bermain peralatan muzik yang bernama ukulele dan akhirnya beralih kepada gitar dan biola di bawah bimbingan Encik Kamaruddin yang merupakan seorang pemimpin brass band di Penang Free School. Beliau juga pernah menyertai Orkes Teruna Sekampung dan kemudian Sinaran Bintang Sore. Beliau pernah menjadi juara bagi pertandingan nyanyian anjuran Radio Pulau Pinang pada tahun 1947 dan terpilih sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya. Dalam pertandingan itu, beliau menggunakan huruf "P" (bagi Puteh) di awal namanya dan nama "P. Ramlee" itu kekal hingga ke akhir hayatnya.
Filem pertama lakonan P. Ramlee ialah Chinta, sebuah filem yang dikeluarkan pada tahun 1948. Beliau memegang peranan sebagai penjahat dan nyanyian latar. Kejayaannya terus berkembang dan telah berjaya berlakon di dalam 27 buah filem di antara tahun 1948 hingga 1955. Salah seorang pendorong dan guru beliau dalam dunia perfileman Melayu ialah Tan Sri L. Krishnan yang merupakan pengarah bagi filem Melayu sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an. Gaya lakonan beliau yang amat berjaya itu adalah hasil inspirasi daripada dua pelakon yang terkenal dari India Selatan iaitu MGR dan Sivaji Ganesan. Filem terakhir lakonan beliau ialah Laxmana Do Re Mi pada tahun 1972 manakala lagu dan lirik terakhirnya ialah Air Mata di Kuala Lumpur pada tahun 1973 sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.

No comments:

Post a Comment