Thursday, 13 February 2014

Dua Asas Penting Insya Allah Jaminan Keluarga Bahagia

Ramai orang Islam kini sedar tentang kepentingan menjaga keharmonian dan kebahagian dalam keluarga. Sehinggakan ramai yang sudah gemar menghadiri kuliah-kuliah agama, membaca buku agama dan sebagainya semata-mata untuk mempelajari ilmu-ilmu berkaitan dengan kebahagiaan kekeluargaan menurut kaca mata Islam. Berdasarkan kajian saya, ada 2 (DUA) asas atau pokok utama dalam menentukan kestabilan, keharmonian dan kebahagiaan dalam berumahtangga:-
(1) Pertama sekali ialah ILMU AGAMA. Menurut hadisth bahawa sesiapa yang menuntut ilmu agama insya Allah, Allah s.w.t. akan memudahkannya memasuki ke dalam syurga. Para malaikat akan menghamparkan sayapnya ke atas orang yang menuntut ilmu untuk menandakan kesukaan. Sehinggakan para malaikat akan bertindih-tindih antara satu sama lain sehingga ke arasy Allah s.w.t. untuk memuliakan orang yang sedang menuntut ilmu. Penduduk di langit akan melihat bintang-bintang bercahaya di bumi bagi mereka yang menuntut ilmu agama. Makhluk-makhluk di bumi seperti semut dalam lubang, kala jengking, ular, ikan-ikan berenang dalam lautan akan memohon kepada Allah s.w.t. untuk mengampunkan dosa si penuntut ilmu agama.
Keutamaan orang yang berilmu agama dengan orang yang beribadat tanpa ilmu sepertimana kehebatan, kecantikan dan keindahan sebuah bulan purnama ke atas berbilion-bilion bintang di langit. Kedudukan orang yang berilmu sungguh tinggi darjatnya berbanding orang yang tidak berilmu. Sehinggakan syaitan lebih takut satu orang yang berilmu daripada seribu orang yang abid. Maksudnya syaitan mudah memperdayakan seribu orang yang jahil agama daripada seorang yang berilmu agama. Nabi Muhammad s.a.w. telah mengiktiraf ulama sebagai pewaris nabi. Sedangkan para nabi a.s. tidak ada mempunyai harta pusaka yang berjuta-juta duit emas untuk diwarisi oleh ummatnya. Sebaliknya para nabi a.s. cuma mempusakai ilmu agama untuk diwarisi oleh ummatnya. Sesiapa yang mempelajari ilmu agama insya Allah dia akan memperolehi banyak manfaat daripada harta kekayaan yang berjuta-juta.
Keterangan yang telah saya jelaskan sebentar tadi adalah kelebihan kita menuntut ilmu agama. Pekara ini amat penting untuk kita aplikasikan dalam kehidupan berumahtangga. Si ayah sebagai ketua keluarga berperanan penting untuk menyampaikan ilmu agama kepada isteri dan anaknya. Jika tidak, si isteri dan anak akan berada dalam kejahilan agama sehinggakan sanggup melakukan perkara yang di larang oleh Allah s.w.t. Untuk mengelak daripada masalah kejahilan agama dalam rumahtangga, si ayah bertanggungjawab sepenuhnya mendidik isteri dan anak tentang ilmu agama. Tegasnya, seorang ayah tidak dapat lari daripada kewajibannya untuk mencurahkan ilmu agama kepada keluarganya walaupun dia bodoh, jahil, tidak ada masa, sibuk dengan kerjaya serta sibuk mengurus hal-hal keluarganya.
Caranya mudah sahaja untuk menyemai semangat belajar ilmu agama dikalangan ahli keluarga kita. Kita cuma sediakan sebuah buku agama yang mudah untuk dipelajari dan di amalkan. Sebagai contoh buku yang boleh kita telaah bersama keluarga ialah Kitab Fadhilat Amal karangan Maulana Zakaria Kandahlawi dan Kitab Muntakhab Hadisth karangan Maulana Yusuf Kandahlawi. Selepas itu, kita tetapkan satu masa dimana kita boleh membacakan kitab tersebut kepada keluarga kita. Sebaik-baiknya tempoh masa majlis ilmu ini dalam 30 minit. Si ayah boleh bergilir-gilir dengan isteri dan anak untuk membaca kitab tersebut. Bila si ayah membaca kitab tersebut maka si isteri dan anak akan mendengar dengan penuh tawajuh, ta'zim, tawaduk, tasdiq dan tabligh. Seeloknya pakaian ahli keluarga bila mengadakan majlis ilmu ini adalah pakaian menutup aurat. Setelah selesai majlis, pesanan untuk amal dan sampaikan serta akhiri dengan tasbih kafarah.
Kelebihan majlis ilmu atau majlis ta'leem ini adalah memberikan kita jazbah atau semangat untuk amalkan agama, merupakan majlis ketenangan, penghapus dosa dan rahmat. Insya Allah kita azam untuk mengadakan majlis ta'leem dalam rumahtangga kita.
(2) Perkara kedua untuk menjamin keharmonian, kebahagiaan dan kestablian dalam rumahtangga kita ialah Hukum-hakam berkaitan dengan kekeluargaan seperti adab berumahtangga, abab jika berlaku penceraian, adab rujuk isteri, adab wasiat, adab hubungan suami isteri, adab hubungan anak dengan ibu bapa, adab sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan seharian, adab berjimak dan sebagainya. Hukum-hakam berkaitan dengan kekeluargaan menurut kaca mata Islam amat penting kerana kita akan mengetahui cara, kaedah, peraturan, larangan dan sebagainya dalam perhubungan sesama ahli keluarga. Hal ini penting kerana hukum hakam agama di amalkan dalam keluarga boleh mengurangkan risiko keruntuhan akhlak, penceraian yang tidak ikut prosedur Islam, perpecahan keluarga dan sebagainya. 
Sekali lagi saya tegaskan bahawa si ayah memainkan peranan penting dalam menyampaikan ilmu hukum-hakam berkaitan dengan kekeluarga kepada isteri dan anaknya. Pada masa kini, kemajuan pesat dalam teknologi maklumat seperti internet boleh digunakan untuk mempelajari ilmu hukum-hakam disamping buku atau kitab. Sebaik-baik dan seafdhal-afdhalnya, kita juga boleh mempelajari ilmu hukum hakam berkaitan dengan kekeluargaan dalam ayat-ayat al-Quran. Kitab al-Quran adalah kitab terbaik sebagai rujukan dalam mempelajari ilmu hukum hakam. Selain itu, kita boleh merujuk kepada ustaz tentang masalah perkahwinan atau kita juga boleh menghadiri majlis-majlis ilmu berkaitan dengan hukum hakam kekeluargaan. Insya Allah kita azam untuk mempelajari ilmu hukum hakam kekeluargaan serta menyampaikannya kepada isteri dan anak kita nanti.
Kesimpulannya ialah kita jangan berserabut kepala atau pening memikirkan kaedah atau cara terbaik untuk menyelamatkan keluarga daripada kepincangan, keruntuhan, keretakan, ketegangan dan meninggalkan kesan yang pahit dalam kenangan hidup kita. Insya Allah jika kita dapat melaksanakan dua perkara iaitu mengadakan majlis ilmu atau ta'lem dalam rumah dan menyampaikan ilmu hukum hakam kepada ahli keluarga akan menjadikan kehidupan rumahtangga kita bahagia, indah, harmoni dan tenang. Sepertimana kebanyakan ustas selalu menyebut,"Rumahku Syurgaku". Insya Allah....

Tuesday, 11 February 2014

Bangun untuk membuat usaha atas iman dan amal. Insya Allah...ayuhh...

Usaha ajak manusia kepada Allah adalah usaha yang dibuat oleh para nabi a.s. Jika setiap ummat Nabi Muhammad s.a.w. membuat usaha ajak manusia kepada Allah maka Allah akan memberi kefahaman agama kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. sepertimana Allah memberi kefahaman agama kepada para nabi a.s.
Contohnya, seorang bapa membawa barang yang berat. Sekiranya seorang anak melihat bapanya membawa barang berat maka tanpa sebarang pertanyaan si anak terus meluru ke arah bapanya untuk membantu bapanya membawa barang berat. Begitu juga dengan Abu Bakar r.a. sentiasa melihat fikir risau Rasulullah s.a.w tentang umat. Tanpa sebarang pertanyaan dengan Rasulullah s.a.w., Abu Bakar r.a. setelah memeluk Islam dan terus mendakwahkan umat untuk beriman kepada Allah dan Rasul. Jadi, kita sedar bahawa kita sebagai umat dakwah. Insya Allah, kita hendaklah azam untuk berjumpa setiap lorong, setiap pintu rumah, setiap manusia, dengan membesarkan Allah sehingga kebesaran Allah masuk dalam hati lalu terkeluarnya kebesaran makhluk dalam hati.
Allah mahukan umat ini jadi daie maka Allah telah banyak menceritakan tentang kisah Nabi membuat dakwah dalam al-Quran. Tujuannya ialah umat ini ambil pengajaran tentang kepentingan dakwah. Kemuliaan umat ini adalah kerana dakwahnya. Kehinaan umat ini adalah kerana lari dari membuat dakwah.Tujuan utama dakwah ini adalah untuk dapat mentaati Allah. Jika kita dapat mentaati Allah maka kita dapat segala-galanya dari Allah.
Sahabat r.a. kenal Allah dengan sifat-sifatNya dan kebesaranNya. Contohnya jika kita sebut perdana menteri maka kita tahu tentang kekuasaannya. Begitu juga jika kita sebut Allah maka kita terbayang tentang keagungan, kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t. serta meningkatkan keimanan kita lagi. Bila sahabat r.a. sebut makhluk maka mereka berfikir tentang rendahnya dan hinanya makhluk. Contohnya bila sahabat r.a. asyik fikir air tidak ada kuasa menengelamkan maka bila mereka jumpa air, sahabat r.a. tidak terkesan dengan kuasa air yang menengelamkan. Sahabat r.a. berjaya melintasi air laut ke seberang darat tanpa menengelamkan mereka dan tanpa sebarang kesan basah pada tapak kaki kuda tunggangan mereka.
Apabila kita menafikan makhluk tiada kuasa maka Allah akan mencabutkan kebesaran makhluk dalam hati kita.
Kita kena besarkan  sunnah melalui dakwah kepada sunnah dari hujung rambut hingga hujung kaki. Sunnah penampilan seperti janggut, pakaian jubah putih dsb. Sunnah kehidupan seperti adab masuk tandas, adab makan minum, adab menaiki kenderaan dsb. Sunnah fikir risau seperti membuat dakwah dengan jumpa ummat untuk memberitahu tentang kebesaran Allah s.w.t.
Insya Allah, kita kena ikut sunnah dan jangan terkesan dengan dunia. Contohnya, seorang sahabat makan dengan raja. Tiba-tiba, dengan izin Allah, seketul makanan terjatuh ke lantai. Lantas sahabat r.a. ambil makanan tersebut lalu membersihkannya kemudian memakannya didepan raja. Sahabat r.a. tidak terkesan makan depan raja tetapi terkesan dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
Ilmu yang diwarisi  oleh Rasulullah s.a.w. adalah ilmu yang sebenarnya. Ilmu ialah ilmu yang dapat menjawab soalan-soalan dalam kubur. Selain ilmu, Zikir juga amat penting kerana dalam hadisth ada menyebut bahawa barangsiapa yang mengingat Allah dengan yang tidak mengingati Allah seumpama orang yang hidup dengan orang mati. Insya Allah, azam solat tahjud, zikir dan baca al-quran. Seorang ulama besar kata barang siapa baca surat khabar dan tv maka kebesaran makhluk banyak masuk dalam hati.
Kita kena dakwah akhlak Nabi s.a.w kepada ummat. Contohnya, Bila Abu Bakar r.a. memukul hamba, maka Rasulullah s.a.w. menegurnya "Allah lebih berkuasa ke atas kamu dari kamu berkuasa ke atas hamba kamu". Selepas itu, Abu Bakar memerdekakan hambanya kerana takutkan Allah.
Kita kena ikhlas dalam setiap amalan. Syaitan tak dapat tipu orang yang ikhlas. Bila seseorang tidak ikhlas maka dia akan meninggalkan sesuatu amalan baik. Bila seseorang ikhlas maka dia akan berterusan dan istiqamah melakukan amalan baik walaupun sedikit. 
Kita kena yakin dengan usaha dakwah melalui dakwah tentang kepentingan dan kelebihan dakwah kepada ummat. Takaza dakwah belum sempurna kerana kita belum yakin dengan usaha dakwah. Untuk membina yakin dengan cara dakwah berasaskan al-quran dan al-haditsh tentang fadhilat dakwah. Insya Allah, kita berazam untuk membuat usaha dakwah sampai bila-bila walau apapun keadaan samada susah mahupun senang tetap istiqamah atas jalan dakwah yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dengan melapangkan masa keluar kejalan Allah selama 4 bulan, 40 hari dan 3 hari....Insya Allah.....