Thursday 13 February 2014

Dua Asas Penting Insya Allah Jaminan Keluarga Bahagia

Ramai orang Islam kini sedar tentang kepentingan menjaga keharmonian dan kebahagian dalam keluarga. Sehinggakan ramai yang sudah gemar menghadiri kuliah-kuliah agama, membaca buku agama dan sebagainya semata-mata untuk mempelajari ilmu-ilmu berkaitan dengan kebahagiaan kekeluargaan menurut kaca mata Islam. Berdasarkan kajian saya, ada 2 (DUA) asas atau pokok utama dalam menentukan kestabilan, keharmonian dan kebahagiaan dalam berumahtangga:-
(1) Pertama sekali ialah ILMU AGAMA. Menurut hadisth bahawa sesiapa yang menuntut ilmu agama insya Allah, Allah s.w.t. akan memudahkannya memasuki ke dalam syurga. Para malaikat akan menghamparkan sayapnya ke atas orang yang menuntut ilmu untuk menandakan kesukaan. Sehinggakan para malaikat akan bertindih-tindih antara satu sama lain sehingga ke arasy Allah s.w.t. untuk memuliakan orang yang sedang menuntut ilmu. Penduduk di langit akan melihat bintang-bintang bercahaya di bumi bagi mereka yang menuntut ilmu agama. Makhluk-makhluk di bumi seperti semut dalam lubang, kala jengking, ular, ikan-ikan berenang dalam lautan akan memohon kepada Allah s.w.t. untuk mengampunkan dosa si penuntut ilmu agama.
Keutamaan orang yang berilmu agama dengan orang yang beribadat tanpa ilmu sepertimana kehebatan, kecantikan dan keindahan sebuah bulan purnama ke atas berbilion-bilion bintang di langit. Kedudukan orang yang berilmu sungguh tinggi darjatnya berbanding orang yang tidak berilmu. Sehinggakan syaitan lebih takut satu orang yang berilmu daripada seribu orang yang abid. Maksudnya syaitan mudah memperdayakan seribu orang yang jahil agama daripada seorang yang berilmu agama. Nabi Muhammad s.a.w. telah mengiktiraf ulama sebagai pewaris nabi. Sedangkan para nabi a.s. tidak ada mempunyai harta pusaka yang berjuta-juta duit emas untuk diwarisi oleh ummatnya. Sebaliknya para nabi a.s. cuma mempusakai ilmu agama untuk diwarisi oleh ummatnya. Sesiapa yang mempelajari ilmu agama insya Allah dia akan memperolehi banyak manfaat daripada harta kekayaan yang berjuta-juta.
Keterangan yang telah saya jelaskan sebentar tadi adalah kelebihan kita menuntut ilmu agama. Pekara ini amat penting untuk kita aplikasikan dalam kehidupan berumahtangga. Si ayah sebagai ketua keluarga berperanan penting untuk menyampaikan ilmu agama kepada isteri dan anaknya. Jika tidak, si isteri dan anak akan berada dalam kejahilan agama sehinggakan sanggup melakukan perkara yang di larang oleh Allah s.w.t. Untuk mengelak daripada masalah kejahilan agama dalam rumahtangga, si ayah bertanggungjawab sepenuhnya mendidik isteri dan anak tentang ilmu agama. Tegasnya, seorang ayah tidak dapat lari daripada kewajibannya untuk mencurahkan ilmu agama kepada keluarganya walaupun dia bodoh, jahil, tidak ada masa, sibuk dengan kerjaya serta sibuk mengurus hal-hal keluarganya.
Caranya mudah sahaja untuk menyemai semangat belajar ilmu agama dikalangan ahli keluarga kita. Kita cuma sediakan sebuah buku agama yang mudah untuk dipelajari dan di amalkan. Sebagai contoh buku yang boleh kita telaah bersama keluarga ialah Kitab Fadhilat Amal karangan Maulana Zakaria Kandahlawi dan Kitab Muntakhab Hadisth karangan Maulana Yusuf Kandahlawi. Selepas itu, kita tetapkan satu masa dimana kita boleh membacakan kitab tersebut kepada keluarga kita. Sebaik-baiknya tempoh masa majlis ilmu ini dalam 30 minit. Si ayah boleh bergilir-gilir dengan isteri dan anak untuk membaca kitab tersebut. Bila si ayah membaca kitab tersebut maka si isteri dan anak akan mendengar dengan penuh tawajuh, ta'zim, tawaduk, tasdiq dan tabligh. Seeloknya pakaian ahli keluarga bila mengadakan majlis ilmu ini adalah pakaian menutup aurat. Setelah selesai majlis, pesanan untuk amal dan sampaikan serta akhiri dengan tasbih kafarah.
Kelebihan majlis ilmu atau majlis ta'leem ini adalah memberikan kita jazbah atau semangat untuk amalkan agama, merupakan majlis ketenangan, penghapus dosa dan rahmat. Insya Allah kita azam untuk mengadakan majlis ta'leem dalam rumahtangga kita.
(2) Perkara kedua untuk menjamin keharmonian, kebahagiaan dan kestablian dalam rumahtangga kita ialah Hukum-hakam berkaitan dengan kekeluargaan seperti adab berumahtangga, abab jika berlaku penceraian, adab rujuk isteri, adab wasiat, adab hubungan suami isteri, adab hubungan anak dengan ibu bapa, adab sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan seharian, adab berjimak dan sebagainya. Hukum-hakam berkaitan dengan kekeluargaan menurut kaca mata Islam amat penting kerana kita akan mengetahui cara, kaedah, peraturan, larangan dan sebagainya dalam perhubungan sesama ahli keluarga. Hal ini penting kerana hukum hakam agama di amalkan dalam keluarga boleh mengurangkan risiko keruntuhan akhlak, penceraian yang tidak ikut prosedur Islam, perpecahan keluarga dan sebagainya. 
Sekali lagi saya tegaskan bahawa si ayah memainkan peranan penting dalam menyampaikan ilmu hukum-hakam berkaitan dengan kekeluarga kepada isteri dan anaknya. Pada masa kini, kemajuan pesat dalam teknologi maklumat seperti internet boleh digunakan untuk mempelajari ilmu hukum-hakam disamping buku atau kitab. Sebaik-baik dan seafdhal-afdhalnya, kita juga boleh mempelajari ilmu hukum hakam berkaitan dengan kekeluargaan dalam ayat-ayat al-Quran. Kitab al-Quran adalah kitab terbaik sebagai rujukan dalam mempelajari ilmu hukum hakam. Selain itu, kita boleh merujuk kepada ustaz tentang masalah perkahwinan atau kita juga boleh menghadiri majlis-majlis ilmu berkaitan dengan hukum hakam kekeluargaan. Insya Allah kita azam untuk mempelajari ilmu hukum hakam kekeluargaan serta menyampaikannya kepada isteri dan anak kita nanti.
Kesimpulannya ialah kita jangan berserabut kepala atau pening memikirkan kaedah atau cara terbaik untuk menyelamatkan keluarga daripada kepincangan, keruntuhan, keretakan, ketegangan dan meninggalkan kesan yang pahit dalam kenangan hidup kita. Insya Allah jika kita dapat melaksanakan dua perkara iaitu mengadakan majlis ilmu atau ta'lem dalam rumah dan menyampaikan ilmu hukum hakam kepada ahli keluarga akan menjadikan kehidupan rumahtangga kita bahagia, indah, harmoni dan tenang. Sepertimana kebanyakan ustas selalu menyebut,"Rumahku Syurgaku". Insya Allah....

No comments:

Post a Comment