Assalamualaikum, saudara dan saudari sekalian. Alhamdulillah bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana telah memberi seribu macam nikmat kehidupan kepada kita. Episod yang lalu saya telah membicarakan tentang tujuan kita hidup di dunia ini. Sekarang, saya akan membicarakan tentang berakhirnya kehidupan kita di dunia ini dengan kematian. Saya ingin mengajak para pembaca supaya kita dapat sama-sama bertafakur, merenung, memikirkan, mendalami atau menghayati tentang kematian.
(1) Apabila kita sentiasa memikirkan tentang kematian maka kita lebih banyak menangis daripada ketawa. Cuba bayangkan bagaimana keadaan kita di alam kubur?
(2) Apabila kita sentiasa memikirkan tentang kematian maka kita lebih banyak beramal daripada melakukan dosa. Berapa banyak amal yang telah kita buat dan berapa banyak dosa yang telah kita buat?
(3) Seseorang yang beriman lebih sukakan maut kerana dia ingin berjumpa dengan Pencipta Maut. Adakah kita cintakan maut?
(4) Tiada sesiapa yang boleh lari daripada maut walaupun dia terlalu sibuk mengurus urusan dunia. Adakah kita mempunyai alasan kukuh untuk elak daripada berjumpa dengan malaikat maut?
(5) Semua mahkluk ciptaan Allah yang mati akan terhenti daripada segala ikhtiar atau usaha untuk beramal soleh. Adakah kita merasa cukup dengan amalan soleh kita?
(6) Rasulullah s.a.w. yang maksum bebas daripada dosa apabila menghadapi sakaratulmaut, dahi beliau kedinginan, beliau merasa begitu sakit apabila roh mahu keluar daripada jasadnya. Cuba bayangkan bagaimana keadaan kita yang hari-hari buat dosa apabila menghadapi sakaratul maut?
(7) Apabila seorang yang beriman meninggal dunia, kubur akan menyambut dengan panggilan mesra dan memuji si mati serta kubur akan membuka seluas mata memandang. Pintu dari syurga akan terbuka untuk memberi kewangian syurga di dalam kubur. Adakah kita yakin bahawa kita salah seorang yang akan mendapat ganjaran ini?
(8) Apabila seorang yang tidak beriman meninggal dunia, kubur akan menyambut dengan panggilan benci dan membenci si mati serta kubur akan menghimpit badannya sehingga tulang rusuknya berceragah di antara satu sama lain. 70 ekor ular akan mematuknya sehingga ke hari kiamat. Jika bisa ular itu terkena rumput di dunia ini maka tidak akan tumbuh sehingga ke hari kiamat. Adakah kita berasa bahawa kita bukan salah seorang yang akan mendapat seksaan ini?
(9) Siapa tuhan kamu? Siapa nabi kamu? Apa kitab kamu? Siapa saudara kamu? Soalan-soalan daripada malaikat sewaktu menyoal kita dalam kubur. Adakah kita merasa yakin dapat menjawab soalan-soalan dalam kubur?
(10) Kubur adalah salah satu daripada taman-taman syurga atau salah satu daripada lembah-lembah neraka. Jadi, kita mahu pilih yang mana satu?
No comments:
Post a Comment