Sunday, 8 April 2012

Permulaan Hidayah: Suatu Pengenalan

Assalamualaikum, saudara dan saudari. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi kerana memberi kesempatan atau peluang kepada kita untuk terus hidup di muka bumi. Sesungguhnya kehidupan kita di dunia ini BUKAN bererti kehidupan untuk kita 'hidup' dengan merasai segala keseronokan dan kesenangan. Sebaliknya, kehidupan kita di dunia ini adalah kehidupan untuk 'mati'. Ya, kehidupan untuk mati. Mengapa?. Segala pejuangan yang telah kita buat selama ini adalah pejuangan dengan mati!. Pejuangan kita berakhir dengan kematian.

Apa maksud mati?. Mati adalah roh kita terkeluar daripada jasad kita. Mati adalah berakhirnya segala usaha kita di dunia ini. Mati adalah terputusnya rezeki kita di dunia ini. Semua dikalangan kita samada orang bandar,orang desa, orang terpelajar, orang jahil, lelaki, perempuan, tua, muda, ibu, bapa, anak, majikan, pekerja dan sesiapa yang hidup di muka bumi akan merasai sakaratul maut. Malaikat maut akan mencabut nyawa manusia yang di perintahkan oleh Allah tanpa ada 'signal' atau tanda-tanda amaran. Malaikat Maut cabut terus nyawa tanpa memperdulikan manusia itu mempunyai urusan yang penting atau tidak. Seseorang ibu yang sibuk menjaga anak yang masih dalam kandungan, yang masih dalam susuan atau yang sudah besar tidak dapat lari dari sakaratul maut. Seorang ayah yang sibuk mencari rezeki untuk menyara keluarganya yang miskin tak dapat lari dari sakaratulmaut. Tiada siapa yang boleh kata 'Aku Tak Nak Mati.'

Mati adalah matlamat pejuangan kita di dunia ini. Setiap perjuangan memerlukan perancangan yang rapi untuk mencapai matlamat yang di ingini. Jika perjuangan kita merupakan perjuangan untuk mendapatkan dunia semata-mata dan meninggalkan akhirat maka perjuangan kita adalah gagal. Mengapa gagal?. Apabila roh sudah terkeluar dari jasad kita maka segala harta benda dan keluarga kita tinggalkan. Yang bersama dengan kita adalah iman yang yakin dan amal yang soleh. Jika perjuangan kita merupakan perjuangan untuk mendapatkan akhirat tanpa meninggalkan keperluan dunia maka perjuangan kita adalah berjaya.

Dunia bukannya bererti kita tinggalkan dunia. Dunia adalah keperluan dalam kehidupan kita. Apa keperluan kehidupan kita?. Keperluan kehidupan kita ada 5 jenis. (1) Rumah (2) Makanan (3) Pakaian (4) Isteri (5) Kenderaan. Mengapa kita hanya perlu kepada 5 asas jenis keperluan dunia ini?. Tujuannya untuk memudahkan kita mengerjakan perintah Allah dan meninggalkan larangannya dan ikut sunnah Rasulullah s.a.w.

Apa yang di maksudkan dengan keperluan dunia yang pertama iaitu rumah?. Rumah bukan bererti rumah yang besar, mewah dan cantik. Rumah ialah sekadar tempat perlindungan yang selesa di diami dan suasana di dalam rumah di penuhi dengan suasana amal seperti solat sunat, membaca al-Quran, berzikir atau berwirid, dakwah, belajar agama dan mengajar agama, saling menunai hak sesama manusia dan sebagainya. Sebagai contoh semasa zaman kegemilangan Islam di Madinah, apabila ada jemaah yang baru memeluk agama Islam atau mualaf, Rasulullah s.a.w. akan menghantar mereka ke rumah para sahabat r.a. Di dalam rumah sahabat r.a., mereka akan di ajar tentang solat, surah pendek dari al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Di samping itu, para sahabat r.a. yang menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka seperti alas tidur yang selesa, makanan yang lazat dan sebagainya. Ini bererti rumah para sahabat r.a. adalah salah satu madrasah selain masjid di Madinah. Jadi, kita kena azam untuk jadikan rumah kita salah satu madrasah agama. Insyallah...

Keperluan dunia yang kedua ialah makanan. Maksud makanan di sini bukan bermaksud kalau tak ada makanan sehari di dalam rumah adalah salah satu masalah besar bagi kita. Bukan begitu!. Makanan yang di maksudkan ialah makanan yang cukup untuk mengenyangkan ahli rumah kita dengan bertujuan untuk memudahkan mereka selesa beribadat kepada Allah. Sebaik-baik penyediaan makanan adalah penyediaan untuk hari ini dan hari esok. Bajet untuk membeli barang makanan untuk hari ini dan esok. Stok makanan untuk makan hari ini dan esok. Hal ini untuk mengelak daripada berlakunya pembaziran dalam makanan jika makanan tersebut tidak habis di makanan. Konsep paling senang untuk di fahami ialah 'Bila lapar dan payah untuk beribadat, maka kita makan. Bila makan dan dapat tenaga sedikit, maka kita berhenti makan." Makan sekadar keperluan untuk dapatkan tenaga bagi memudahkan beribadat kepada Allah.

Keperluan dunia ketiga ialah pakaian. Sebaik-baik pakaian bukannya untuk bermegah-megah. Sekadar untuk menutupi badan kita.

Keperluan dunia ke empat ialah isteri. Sebaik-baik isteri ialah isteri yang solehah.

Keperluan dunia yang ke lima ialah kenderaan. Sebaik-baik kenderaan ialah kenderaan yang memudahkan kita untuk beribadat kepada Allah seperti mudah untuk solat jemaah di masjid.

Secara kesimpulan untuk Permulaan Hidayah : Suatu Pengenalan adalah untuk mengingatkan kita tentang tujuan kita hidup di dunia ini. Apa maksud kita hidup di dunia ini?. Kita hidup di dunia ini umpama seorang pengembara yang lalu di sebuah batang pokok yang rendang. Kemudian, pengembara tersebut berehat di bawah pokok tersebut untuk melepaskan keringat atau keletihan. Setelah berpuas berehat, pengembara tersebut beredar dari pokok tersebut. Begitu juga kehidupan kita di dunia ini hanyalah sementara. Sepertimana kita selalu pergi ke tandas untuk membuang air kecil atau air besar. Tidak ada sesiapapun yang sanggup menjadikan tandas sebagai rumah kediaman yang kekal walaupun tandas adalah keperluan utama kehidupan manusia. Begitu juga kita jangan jadikan dunia tempat kehidupan kekal kita walaupun dunia adalah keperluan utama kehidupan manusia. Jadi, fikir-fikirkanlah, selamat beramal dan sampaikan kepada sesiapa yang belum melawat blog ini.....

No comments:

Post a Comment