Tuesday, 1 April 2014

Kemanusiaan dapat dicapai melalui manusia itu sendiri

Manusia adalah sejenis makhluk ciptaan Allah s.w.t. yang paling baik daripada semua makhluk ciptaanNya. Manusia telah diberikan akal dan nafsu untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. Manusia telah diperintahkan oleh Allah s.w.t. untuk mentaati perintahNya dan menjauhi laranganNya. Manusia yang beriman mempunyai nilai-nilai yang baik dalam diri mereka sedangkan manusia yang tidak beriman mempunyai nilai-nilai yang buruk dalam diri mereka.
Sebagai manusia, kita telah didedahkan semenjak dari kecil mengenal apa itu dunia, apa yang terkandung dalam dunia dan apa faedah dunia. Kita tidak dapat menafikan apa yang sudah terbuku dalam hati kita tentang kehebatan, keagungan dan kebesaran dunia. Kita juga sudah sedia maklum bahawa dunia dihadapan mata kita adalah sesuatu yang realiti dan boleh dicapai dengan menggunakan mata, telinga, badan. lidah dan sebagainya. Dunia dan manusia tak dapat dipisahkan kerana manusia telah berkawan dengan dunia sejak dari lahir lagi.
Apa sahaja benda-benda yang kita lihat, dengar dan sentuh seperti duit, harta, pangkat, wanita dan sebagainya telah benar-benar tersemat didalam hati kita. Kita harus mengakui hakikat bahawa dunia tak dapat dibuang, dinafikan dan dipisahkan dalam hati kita. Kita telah belajar semenjak dari kecil untuk mengenal duit. Sewaktu kecil, kita tidak ada duit. Jadi, kita tidak tahu apa kegunaan duit, apa faedah duit dan apa nilai duit. Apabila kita sudah meningkat usia, kita sudah ada duit, Jadi, kita telah mengetahui kegunaan duit, faedah duit dan nilai duit. Kefahaman kita ialah siapa yang berduit maka dia akan hidup senang dan sebaliknya. Kefahaman kita lagi ialah duit yang banyak maka kita dapat hidup senang dengan lebih-lebih selesa dan sebaliknya.
Duit telah tersemat dalam hati kita kerana kita telah yakin tentang kelebihan duit melalui pengalaman yang pernah kita lalui bersama dengan duit seperti membeli barang dengan duit, membelanja kawan makan dengan duit dan sebagainya. Segala benda didunia umpama pisau. Pisau adalah alat untuk memotong sesuatu barang. Pisau amat penting dalam kehidupan manusia untuk memasak, membelah perut pesakit dan sebagainya. Namun, jika kita menggunakan pisau dengan niat untuk kebaikan seperti memasak dan sebagainya maka kegunaan pisau itu mendatangkan manfaat kepada manusia. Jika kita menggunakan pisau dengan niat untuk kejahatan seperti membunuh orang, menguggut orang dan sebagainya maka kegunaan pisau itu mendatangkan mudharat kepada manusia. Begitu juga duit boleh menjadi manfaat dan mudharat kepada manusia. Duit boleh menjadi manfaat kepada manusia apabila duit itu disalurkan kepada perkara-perkara kebaikan seperti belanja keperluan dapur, derma dan sebagainya. Duit boleh menjadi mudharat kepada manusia apabila duit itu disalurkan kepada perkara-perkara buruk seperti membeli arak, berjudi, rasuah dan sebagainya.
Duit boleh mengaburi mata manusia kerana manusia telah kenal secara mendalam tentang duit. Manusia sanggup berbunuh sesama sendiri semata-mata mahu mengejar duit. Manusia sanggup menggunakan cara yang haram untuk mendapatkan duit. Manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan duit.
Ini bermakna nilai manusia boleh rosak kerana duit. Contohnya, manusia tidak ada sedikitpun perasaan kemanusiaan sehingga sanggup membunuh manusia yang lain untuk mendapatkan duit. Nilai manusia sudah jatuh. Nilai duit sentiasa meningkat. Apabila nilai duit meningkat manakala nilai manusia sudah jatuh maka sifat-sifat kemanusia tiada wujud lagi pada diri manusia.
Manusia yang mempunyai sifat-sifat yang buruk seperti minum arak, berjudi, berzina dan sebagainya tidak akan dapat diubah melalui kaedah penyebaran risalah, surat khabar, buku, program tv, blog dan sebagainya. Hai ini bermaksud bahawa kaedah-kaedah seperti yang disebutkan tadi tidak akan memberi kesan yang mendalam kepada manusia yang buruk perangainya kerana mereka tidak ada masa untuk membaca buku yang berjudul "Bertaubatlah sebelum terlambat", atau artikel dalam surat khabar bertajuk "Polis sedang menjejak penjenayah" dan sebagainya. Manusia yang berperangai buruk tidak ada masa untuk melihat, membaca dan mendengar apa-apa sahaja bentuk media yang menerangkan tentang sifat-sifat yang baik.
Manusia yang berperangai buruk tidak ada masa untuk pergi ke tempat yang boleh menyuburkan sifat-sifat yang baik seperti masjid, kauseling dan sebagainya. Mereka lebih selesa ditempat mereka sendiri seperti pub, lubuk gangster, hotel pelacuran dan sebagainya.
Satu-satunya cara mengubah manusia yang tidak ada sifat-sifat kemanusiaan kepada sifat-sifat kemanusiaan melalui manusia itu sendiri. Maksudnya manusia yang mempunyai sifat-sifat kemanusiaan hendaklah berjumpa dengan manusia yang tiada sifat kemanusiaan dengan mengajarkan kepada mereka tentang sifat-sifat kemanusia. Manusia berjumpa dengan manusia. Itulah kaedahnya. Setelah manusia yang bersifat kemanusiaan mengajar kepada manusia tiada sifat kemanusiaan tentang sifat-sifat kemanusiaan yang harus ada dalam diri manusia, manusia yang bersifat kemanusiaan hendaklah membawa manusia yang tiada sifat kemanusiaan keluar dari tempat mereka yang penuh dengan suasana tiada kemanusiaan kepada tempat yang penuh dengan suasana kemanusiaan. Hanya cara menggunakan manusia untuk mengubah manusia adalah paling berkesan daripada buku, tv, internet dan sebagainya.
Kesimpulannya, kita sebagai seorang yang beriman hendaklah mengajak rakan-rakan kita yang beriman (yang masih leka dengan kehidupan dunia) dengan memberitahu kepada mereka tentang akhirat (mengubah fikir mereka daripada fikir dunia kepada fikir akhirat) dan kita mengajak mereka dengan hemah pergi ke masjid (membawa mereka keluar dari suasana dunia ke suasana agama). Kemudian, didalam masjid ada hidup halaqah iman seperti muzakarah tentang iman, membaca al-quran, zikir dan sebagainya untuk mewujudkan persekitaran iman. 
Dari situ, mata, telinga dan badan telah merasai suasana agama dalam masjid dan menyakini dalam hati bahawa kehidupan agama adalah mudah untuk diamalkan. Jadi, apabila hati sudah menyakini amalan agama mudah diamalkan maka sifat-sifat kemanusiaan sudah mula menyinar dalam hati.
Insya Allah, mulai saat ini kita perlu azam untuk tingkatkan pengorbanan keluar ke jalan Allah s.w.t. selama 4 bulan, 40 hari dan 3 hari. Insya Allah....

No comments:

Post a Comment