Monday, 31 March 2014

Siapakah yang perlu kita sokong samada Datuk Seri Najib atau Datuk Seri Anwar?

Pada pendapat saya, mereka berdua umpama ketua kelasi yang membawa kapal penumpang yang akan menuju ke destinasi Malaysia. Kedua-dua mereka akan membawa kapal penumpang masing-masing mengunakan laluan yang berbeza untuk sampai ke Malaysia. Jadi, persoalannya ialah laluan manakah yang paling selamat dan cepat sampai ke Malaysia?. Jika kita sebagai penumpang akan memilih laluan yang tidak ada gangguan lanun, tiada pengganas, tiada ribut, tiada lautan bergelora dan cepat sampai ke Malaysia. Mungkin sekarang fikiran kita sedang bermain di kepala untuk menentukan siapakah ketua kelasi yang dimahukan oleh kita. Samada Datuk Seri Najib yang terkenal dengan gagasan 1 Malaysia atau Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terkenal dengan gagasan Reformasi.
Kita sebagai rakyat Malaysia bebas untuk memilih siapakah pemimpin yang harus memimpin Malaysia melalui pilihan raya lima tahun sekali. Dan kita sebagai seorang Islam tidak bebas untuk melontari pelbagai tuduhan, fitnah dan tomahan kepada kedua-dua pemimpin tersebut. 
Saya berasa sedih apabila melihat orang Islam sendiri telah menjadi pelopor untuk melakukan kerja fitnah-menfitnah, membuka keaiban dan sebagainya kepada kedua-dua pemimpin tersebut melalui surat khabar, majalah, website, blog dan sebagainya.
Rasulullah menjelaskan, tatkala ditanya oleh seorang sahabat, "Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah?" Lalu jawab Baginda, "Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya!" Kemudian Baginda ditanya lagi, "Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan ltu benar?" jawab Baginda, "Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar)." (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi).
Ghibah (menyebut keburukan orang lain walaupun benar) amat buruk, apalagi buhtan (memfitnah dan mengada-adakan keburukan seseorang). Orang yang mendengar ucapan ghibah juga turut memikul dosa ghibah, kerana dia masuk dalam ghibah itu sendiri. Kecuali dia mengingkarinya dengan lidah, atau menerima dengan hatinya. Bila ada kesempatan maka lebih utama baginya mengalihkan ghibah tersebut dengan pembicaraan lain yang lebih bermanfaat. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya), akan dilempar ke neraka sejauh antara timur dan barat." (Riwayat Muslim)
Ghibah bukan hanya pada ucapan lidah, tetapi setiap gerakan, isyarat, ungkapan, sindiran, celaan, tulisan atau segala sesuatu yang dipahami sebagai hinaan. Mendengar orang yang sedang ghibah dengan sikap kagum dan menyetujui apa yang dikatakannya, hukumnya sama dengan ghibah. Pahala amal kebaikan orang yang melakukan ghibah akan berikan kepada orang yang menjadi sasaran ghibahnya. Islam mengharamkan dan melarang ghibah kerana boleh mengakibatkan putus ukhuwah, rosak kasih sayang, timbul permusuhan, tersebar aib, lahir kehinaan dan timbul keinginan untuk melakukannya.
Perkataan "fitnah" berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan. Fitnah sering dimaksudkan sebagai berita bohong atau tuduhan yang diada-adakan untuk membinasakan seseorang yang tidak sesuai dengan kenyataan atau kebenaran.
Al-Quran dalam surah al-Hujuraat ayat 12 dengan jelas menghuraikan persoalan fitnah. "Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi maha Pengasihani".
Sebelum kita mengatakan sesuatu yang tidak elok kepada kedua-dua pemimpin tersebut, kita perlu bertanya kepada diri sendiri samada kita mengenali kedua-dua pemimpin tersebut dengan mendalam atau tidak. Samada kita pernah bergaul, bergurau, berbicara dan sebagainya dengan kedua-dua pemimpin itu ataupun tidak pernah. 
Jika kita menerima maklumat yang memburuk-burukkan kedua-dua pemimpin tersebut, adakah kita telah menyelidiki maklumat itu secara terperinci ataupun tidak pernah. Adakah kita pernah merujuk kepada mereka tentang kesahihan maklumat yang kita dengar daripada orang lain?.
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. [Al Hujurat : 6].
Dalam ayat ini, Allah melarang hamba-hambanya yang beriman percaya kepada berita angin. Allah menyuruh kaum mukminin memastikan kebenaran berita yang sampai kepada mereka. Tidak semua berita itu benar, dan juga tidak semua berita yang disampaikan ada faktanya. Ingatlah, musuh-musuh kamu senantiasa mencari kesempatan untuk menjatuhkan kamu. Maka wajib atas kamu untuk selalu berwaspada, hingga kamu boleh kenal pasti orang yang hendak menyebarkan berita yang tidak benar.
Untuk menyelamatkan iman kita yang sudah maklum tidak kuat maka lebih baik kita mendiamkan diri daripada mendengar segala maklumat yang berunsur hasutan, fitnah dan sebagainya terhadap kedua-dua pemimpin tersebut. Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik dan kalau tidak, hendaklah diam." (Riwayat Bukhari dan Muslim). Ini membawa maksud bahawa sebagai seorang yang beriman, kita perlu sentiasa mengawasi lidah kita daripada memburuk-burukkan kedua-dua pemimpin tersebut. Kalau tidak dapat membicarkan sesuatu yang kebaikan tentang kedua-dua pemimpin tersebut maka adalah lebih baik berdiam diri sahaja.
Apabila kita mendapati penyokong BN menghina Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebaliknya penyokong Pakatan menghina Datuk Seri Najib maka kita seharusnya bertindak mempertahankan nama baik kedua-dua pemimpin tersebut. Hadis riwayat Ahmad dan Tharani; "Barang siapa yang mengetahui ada orang mukmin dihina di depannya, ia harus membelanya, mempertahankan nama baik si mukmin itu. Apabila ia tidak mahu melakukan pembelaan itu, maka Allah s.w.t. akan menghinanya di depan orang ramai''.
Kita yang sentiasa menganggap bahawa diri kita memperjuangkan sunnah Rasulullah s.a.w telah merosakkan akhlak kita sendiri dengan menganggap perbuatan mencela, menghina dan menfitnah salah seorang daripada kedua-dua pemimpin tersebut tidak ada apa-apa masalah. Masalahnya sekarang ialah kita telah menunjukkan akhlak yang buruk. Rasulullah s.a.w. ditanya tentang kelakuan apakah yang paling banyak memasukkan seseorang ke dalam syurga. Jawab baginda: "Taqwa kepada Allah dan keindahan akhlak, dan ketika baginda ditanya: "Apakah yang paling banyak memasukkan orang ke dalam neraka?" Baginda menjawab: "Kejahatan mulut dan kemaluan".
Kesimpulannya, kita sebagai rakyat Malaysia berhak memilih pemimpin yang mampu memimpin Malaysia dengan makmur dan maju melalui kaedah pilihan raya lima tahun sekali. Terpulanglah samada kita milih Datuk Seri Najib atau Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui kepimpinan negara. Janganlah kita sampai melampaui batas sehingga sanggup menghina, mencerca dan menfitnah pemimpin yang kita benci. Apa yang penting sebagai orang Islam harus bersatu padu dibawah gerakan dakwah. Hanya melalui dakwah kepada setiap umat manusia untuk beriman kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. dapat memecahkan tembok kepelbagaian fahaman dan pendapat. Oleh itu, kita berazam untuk tingkatkan pengorbanan keluar ke jalan Allah s.w.t. selama 4 bulan, 40 hari dan 3 hari. Insya Allah...azam..

No comments:

Post a Comment