Menurut Dr. Hassan Ahmad, pemimpin yang sebenar ialah orang yang mampu membawa perubahan yang besar, yang paradigmatic, dalam kehidupan, pemikiran dan keadaan sosial manusia, masyarakat, bangsa dan negara yang di pimpinnya. Contohnya, Nabi Muhammad s.a.w. telah berjaya mengubah masyarakat Arab jahiliyah kepada masyarakat Islam yang bertamadun tinggi.
Namun demikian, kepimpinan bukannya satu keistimewaan tetapi ia adalah tanggungjawab. Ibnu Umar. r.a. meriwayatkan sebuah hadisth, “Ketahuilah, setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya atas pimpinannya. Dan pemimpin manusia akan ditanya atas pimpinannya. Dan setiap suami itu pemimpin atas ahlinya yang akan ditanya atas pemimpinnya. Dan setiap isterinya itu memelihara rumahtangga suaminya dan menjaga anak-anak suaminya dan ia akan di tanya atas pimpinannya. Dan setiap pelayan itu pemimpin dalam mengurus harta majikannya dan akan ditanya atas pimpinannya. Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya atas pemimpinnya.” Menurut tafsiran Ustaz Abdul Latif tentang hadisth di atas ialah kehidupan seseorang manusia tidak dapat lari daripada tanggungjawab samada berkaitan hal keagamaan dan keduniaan.
Sebagai mahkluk sosial, manusia memerlukan seorang pemimpin yang boleh memimpin mereka dengan baik. Walau bagaimanapun, tidak semua pemimpin yang dipilih mempunyai ciri-ciri pemimpin yang baik. Kata Tun Dr. Mahathir,“Kepimpinan yang baik jelas amat penting. Kita jarang dapat mengenal pasti pemimpin yang baik dari awal bagi membolehkan kita membuat pilihan yang betul. Rakyat Jerman yang memilih Hitler tidak tahu beliau akan menjadi pemimpin jenis macamana. Sebaliknya, pemimpin yang akhirnya muncul sebagai pemimpin yang baik menghadapi banyak kesulitan dalam memenangi sokongan rakyat pada awalnya. Malahan Nabi (Muhammad s.a.w) dibaling dengan batu oleh penduduk Taif ketika baginda mula menyebarkan ajaran agama Islam.”
Lazimnya, kepimpinan bermula dengan kedudukan dan jawatan (position). Namun ia mestilah ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi. Apabila seorang ketua berjaya memperlihatkan bibit-bibit kewibawaan pada dirinya, maka pengikut akan mula membenarkan diri mereka dipimpin dan diterajui oleh ketua tersebut. Inilah yang dimaksudkan dengan tahap permission.
Di sini, mungkin pengikut akan membenarkan seorang ketua melaksanakan lebih dari skop kerjanya semata-mata. Pengikutnya akan bertanya lebih dari soal kerja, meminta pandangan tentang satu dua masalah peribadi, dan membolehkan kumpulan atau organisasi tersebut maju setahap lagi ke peringkat production. Kerjasama yang meningkat di antara seorang pemimpin dengan mereka yang dipimpin, akan membolehkan mereka bersinergi. Dengan cara ini, hasil kerja mereka akan jadi lebih produktif.
Tetapi jika seorang pemimpin yang sudah elok bergaul dengan pengikutnya, berjaya memberikan impak dan mengubah kehidupan pengikutnya kepada yang lebih baik, maka kepimpinannya sudah naik ke tahap yang keempat iaitu people development. Pemimpin di tahap ini akan membantu pengikutnya membangunkan potensi diri.
Akan tetapi, seorang pemimpin yang benar-benar cemerlang adalah pemimpin yang berjaya sampai ke peringkat kelima. Kepimpinannya bukan hanya memberikan kesan kepada soal taraf kehidupan pengikut, atau kejayaan karier mereka, malah berjaya membentuk pengikutnya menjadi insan yang cemerlang, hasil pengaruh dirinya sendiri ke atas mereka yang dipimpin (personhood). Ia sukar untuk dicapai, kecuali selepas seseorang itu menghabiskan seluruh umurnya untuk membangunkan manusia mencapai potensi terbaik mereka.
Tun Dr. Mahathir telah mengariskan tujuh kualiti untuk menjadi pemimpin yang baik iaitu:-
1) Seorang pemimpin yang baik tidak semestinya merendah diri tetapi sekurang-kurangnya tidak bercakap besar.
2) Beliau tidak harus menyalahkan orang lain bagi kegagalan tetapi mengakui kelemahan diri sendiri.
3) Beliau mesti bersedia menerima tanggungjawab tetapi tidak boleh terlalu mendesak dan berkeras dalam memimpin.
4) Beliau patut bersikap luhur dan tidak pentingkan pujian dan kemasyhuran,
5) Beliau patut tahu bagaimana mengendalikan pengikutnya begitu juga pihak atasan. Beliau perlu sensitif dengan sensitiviti orang lain.
6) Beliau patut bersedia melakukan yang diharapkan oleh orang lain untuk beliau laksanakan. Beliau patut mendukung slogan kepimpinan melalui teladan.
7) Beliau perlu bijak dan lebih pintar sekurang-kurangnya berbanding orang yang berada di bawah pimpinannya. Dr Mahathir berkata seorang pemimpin perlu mempunyai banyak idea, idea untuk hala tuju kepimpinan, idea mengenai perkara yang beliau dan pengikutnya perlu lakukan atau capai dan idea untuk meningkatkan kesejahteraan hidup dan persekitaran mereka.
Selain itu, seorang pemimpin tidak perlu bergantung kepada kuasa asing untuk membantu dalam pemerintahannya. Kata Tun Dr. Mahathir,” Kalau saya boleh dianggap berjaya, sebabnya ialah kerana saya tidak bergantung kepada sesiapa termasuk kepada orang asing. Sikap saya ialah saya kena bergantung kepada diri saya sendiri.” Jikalau seorang pemimpin mahu mengambil jalan mudah dengan meminta bantuan daripada orang asing akan menyebabkan negara sentiasa dijajah. Hal ini pernah berlaku pada zaman dulu dinegeri-negeri Melayu dimana raja-raja Melayu bergantung dengan British untuk menguruskan pemerintahan mereka. Kata Tun Dr. Mahathir,” Mereka (British) berkata kepada raja:”Kita akan bayar pencen (political pencion). Raja tidak payah buat kerja apa, tidak perlu tadbir apa-apa pun. British akan tadbir..kita akan bayar semua belanja. Jadi kerana hendak dapat sesuatu dengan mudah dan boleh dapat political pension, tidak payah kerja, jadi mudahlah dan serah semuanya kepada British. Kita bukan ditawan oleh British. Kita serah negeri kita kepada bristish pasal hendak cari jalan mudah.”
Selain itu, seorang pemimpin perlu menjauhi sifat mengumpul harta untuk kepentingan sendiri. Cuba kita renungkan kata - kata Saidina Ali Abi Talib r.a.,“Sesungguhnya, kerosakkan yang berlaku pada bumi ini berpunca daripada kesengsaraan hidup penduduknya, dan penduduknya sengsara apabila orang yang memerintah negeri asyik mengumpul harta untuk kepentingan sendiri, apabila mereka sendiri tidak yakin akan kekalnya pemerintahan mereka, dan apabila mereka tidak mengambil iktibar daripada kejadian-kejadian tidak baik (yang berlaku disekeliling mereka).
Dr. Hassan Ahmad ialah Pengarah Eksekutif Yayasan Karyawan telah membuat tafsiran tentang kata-kata Ali r.a. seperti berikut,“Keadaan inilah yang banyak sekali berlaku dinegara ‘membangun’, termasuk negara Islam, pada hari ini. Ekonomi negara kucar-kacir; rakyat yang miskin semakin miskin; golongan yang kaya bertambah kaya. Wang Negara digunakan untuk memperkayakan diri sendri atau kanco-konconya si pemimpin.”
Tambah beliau lagi,”Sesebuah negara atau sesuatu bangsa boleh hancur disebabkan korupsi pemimpinnya. Kesan merebak kebawah, keseluruhan masyarakat dan institusi awam. Jika orang di atas melakukan perbuatan ini, secara berleluasa, orang dibawah mula berasa bebas untuk mengikuti contoh mereka, tidak takut lagi melakukan kesalahan yang sama. Akhirnya negara seperti itu menjadi mangsa penjajahan sistem ‘ekonomi bebas’ global yang diciptakan, digerakan dan dikawal oleh kuasa-kuasa kapitalis Barat melaui alat mereka seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Atau rakyat di negara itu akan menjadi eksploitasi para pedagang dan kapitalis yang ‘bersahabat’ dengan golongan yang berkuasa.”
Kata Dr Mahathir, tidak kira betapa seseorang itu cuba mempamerkan kualiti dan ciri-ciri pemimpin yang baik, ia bukan jaminan bahawa mereka tidak mungkin melakukan kesilapan. Cuba kita renungkan kata-kata dari Abu Bakar r.a,“Saya telah diangkat menjadi ketua saudara sekalian walaupun saya bukanlah orang yang terbaik dikalangan saudara. Kalau saudara melihat aku benar, taatlah kepada aku dan kalau saudara melihat aku salah, betulkan kesalahanku. Taatlah kepadaku selama aku mentaati Allah. Dan apabila aku terpesong dari jalan Allah maka tiadalah wajib lagi saudara mentaatiku.”
Dr. Hassan Ahmad ialah Pengarah Eksekutif Yayasan Karyawan telah membuat tafsiran tentang kata-kata Abu Bakar r.a. bahawa jika dia melakukan apa-apa kesalahan, orang ramai (atau rakyat) berhak membetulkan kesalahannya itu. Ini bererti dia mengamalkan salah satu dasar demokrasi yang sangat penting, seperti yang sepatutnya di amalkan pada hari ini, samada dinegara bukan Islam mahupun di neara Islam, iaitu dasar memberi kebebasan kepada rakyat untuk bersuara dan menegur kesalahan pemimpin.
Oleh itu, setiap pemimpin harus mempunyai keinginan untuk menjadi pemimpin yang baik kerana fadhilatnya terlalu banyak sepertimana hadisth diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Kudri, “Manusia yang paling dikasihi dihari akhirat dan paling hampir kedudukkannya disisi Allah ialah pemimpin yang adil. Dan orang yang paling dibenci oleh Allah pada hari akhirat serta paling jauh kedudukkannya daripada Allah ialah pemimpin yang zalim atau belot.”
No comments:
Post a Comment