Monday 23 July 2012

Kuliah Hadisth: Mari kita belajar SANAD HADISTH

SANAD DAN PERKARA-PERKARA YANG BERKAITAN DENGANNYA

Al-Isnad al-‘Ali Wa al-Nazil

Pendahuluan
Selain menjadi sunnah yang amat dititikberatkan, sanad merupakan ciri khusus yang utama bagi umat ini yang tidak dimiliki oleh mana-mana umat yang terdahulu. Oleh itu, menjadi kewajipan kepada setiap individu berpegang dengannya ketika menukilkan hadis dan riwayat. Ibn al-Mubarak berkata: “Sanad itu sebahagian dari agama. Jika tidak kerana sanad, sesiapa sahaja akan mengatakan apa yang disukainya. Sufyan al-Thawri berkata: “Sanad adalah senjata orang mukmin.”
Demikian juga mencari sanad yang tinggi merupakan sunnah sebagaimana kata Imam Ahmad bin Hanbal: “Mencari sanad yang tinggi adalah sunnah di sisi salaf.” Murid-murid Ibn Mas’ud mengembara dari Kufah ke Madinah untuk belajar dan mendengar hadis daripada Sayyidina ‘Umar. Oleh kerana itu, mengembara untuk mencari hadis sangat dituntut dan digalakkan. Ramai dari kalangan sahabat yang telah mengembara untuk mencari sanad yang tinggi, antara mereka ialah Abu Ayyub dan Jabir r.a.


Definisi
Dari sudut bahasa, al-‘Ali ialah kata nama pelaku daripada al-‘Uluww iaitu ketinggian lawan kepada al-Nuzul iaitu kerendahan. Al-Nazil pula kata nama pelaku daripada al-Nuzul.
Mengikut istilah, al-Sanad al-‘Ali ialah sanad yang mempunyai jumlah perawi yang sedikit berbanding dengan sanad lain yang mempunyai bilangan perawi lebih ramai yang membawa kepada hadis sama.
Al-Sanad al-Nazil ialah sanad yang mempunyai jumlah perawi yang ramai berbanding dengan sanad lain yang menyampaikan kepada hadis sama dengan bilangan perawi lebih sedikit.

Bahagian-Bahagian Ketinggian Sanad
 
Ketinggian sanad terbahagi kepada lima bahagian, salah satu daripadanya adalah ketinggian mutlak dan yang lain adalah ketinggian secara nisbi (relatif):

1)            Hampir kepada Rasulullah s.a.w. dengan sanad yang sahih dan bersih. Ini merupakan bahagian ketinggian yang paling utama.

2)            Hampir dengan salah seorang imam hadis walaupun selepasnya terdapat ramai bilangan perawi yang menyampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Contohnya dekat dengan al-A’masy atau Ibn Juraij, Malik atau imam yang lain dengan syarat sanad yang sahih dan bersih.

3)            Hampir dengan melihat kepada periwayatan salah satu Sunan Sittah atau kitab-kitab hadis lain yang diakui. Bahagian ini lebih diberi perhatian oleh ulama dan ia terbahagi pula kepada muwafaqah, abdal, musawah dan musafahah.

3.1. Muwafaqah
 Iaitu sampainya kepada syeikh salah seorang pengarang kitab bukan melalui jalannya dengan bilangan perawi yang berkurangan berbanding jika diriwayatkan melaluinya.

Contohnya: Hafiz Ibn hajar menyebutkan di dalam Syarah Nukhbah al-Fikar: Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Qutaibah daripada Malik. Sekiranya kita meriwayatkan hadis tersebut melalui jalan al-Bukhari maka bilangan perawi antara kita dan Qutaibah menjadi seramai lapan orang. Tetapi jika kita meriwayatkannya melalui Abu al-‘Abbas al-Siraj daripada Qutaibah maka bilangan perawi antara kita dan Qutaibah hanya tujuh orang. Dengan itu, kita memperolehi muwafaqah dengan Imam al-Bukhari pada syeikhnya di samping ketinggian sanad berbanding dengan beliau.

3.2 Badal
Iaitu sampai kepadaguru bagi guru  salah seorang pengarang kitab hadis dengan jalan lain dengan bilangan perawi yang berkurangan daripada jalan syeikh tersebut. Contohnya seperti yang disebutkan oleh Hafiz Ibn Hajar: “Seperti sanad itu sendiri sampai kepada kita melalui jalan lain kepada al-Qa’nabi daripada Malik maka al-Qa’nabi itu menjadi badal kepada Qutaibah.

3.3 Musawah
Musawah iaitu sama bilangan sanad daripada perawi sehingga kepada akhirnya bersama-sama sanad salah seorang pengarang kitab.

Contohnya:  Apa yang disebutkan oleh Hafiz Ibn Hajar: “Seperti al-Nasa`i meriwayatkan satu hadis yang menjadi perantaraan antara beliau dengan Rasulullah s.a.w. seramai 11 orang. Hadis itu sendiri kita meriwayatkannya dengan sanad yang lain melalui perantaraan 11 orang juga. Dengan itu, kita menyamai al-Nasa`i dari sudut bilangan.

3.4 Musafahah
Iaitu sama bilangan sanad daripada perawi hingga kepada hujungnya bersama dengan sanad murid salah seorang pengarang-pengarang. Dinamakan musafahah kerana kebiasaannya dua orang perawi yang bertemu akan berjabat tangan (musafahah).


4)      Ketinggian Dengan Sebab Terdahulu Kewafatan Perawi
Contohnya seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi: “Hadis yang saya terima daripada tiga orang daripada al-Baihaqi daripada al-Hakim lebih tinggi daripada saya meriwayatkan daripada tiga orang daripada Abu Bakr bin Khalf daripada al-Hakim kerana kewafatan al-Baihaqi itu terdahulu daripada kewafatan Ibn Khalf.


5)      Ketinggian Dengan Sebab Terdahulu Mendengar Hadis
Iaitu terdahulu mendengar hadis daripada syiekh. Sesiapa yang mendengar dahulu maka ia dikira lebih tinggi daripada orang yang mendengar kemudian.

Contohnya: Dua orang perawi mendengar hadis daripada seorang syeikh dan sama’ salah seorang itu sejak enam puluh tahun sedangkan seorang lagi sejak empat puluh tahun dalam keadaan bilangan perawi yang menyampaikan kepada mereka berdua itu sama maka yang pertama lebih tinggi daripada yang kedua. Ini lebih diberikan perhatian apabila guru seorang itu ikhtilat (fikiran bercelaru) atau nyanyuk.


Bahagian Kerendahan Sanad

Terdapat lima bahagian sanad rendah dan dapat diketahui daripada lawannya iaitu ketinggian sanad. Setiap bahagian ketinggian sanad adalah lawan kepada setiap bahagian kerendahan sanad.


Adakah Ketinggian Sanad Lebih Utama Atau Kerendahan Sanad?

Mengikut pendapat sahih yang dipegang oleh majoriti ulama, ketinggian sanad itu lebih utama kerana ia menjauhkan daripada andaian banyak berlaku kecacatan dalam hadis dan kerendahan sanad itu tidak disukai. Ibn al-Madini berkata: “Kerendahan sanad itu adalah pesimis”. Hal ini berlaku apabila sanad itu sama kuat.
Kerendahan sanad itu lebih utama apabila sanad yang rendah itu mempunyai keistimewaan.[1]


Karangan-Karangan Yang Masyhur
Secara umumnya, tidak terdapat kitab khusus tentang sanad-sanad tinggi atau rendah tetapi ulama hadis telah menulis secara berasingan juzuk-juzuk yang dinamakan sebagai al-Thulathiyyat yang bermaksud hadis-hadis yang mempunyai perantaraan antara pengarang dan Rasulullah s.a.w. seramai tiga orang sahaja. Ini sebagai isyarat kepada perhatian ulama terhadap sanad-sanad tinggi. Antaranya ialah:
  1. Thulathiyyat al-Bukhari oleh Ibn Hajar
  2. Thulathiyyat Ahmad bin Hanbal oleh al-Saffaraini.


Al-Musalsal

Definisi
Pada bahasa: al-Musalsal ialah kata nama objek al-Salsalah iaitu bersambung sesuatu dengan yang lain, daripadanya terbit perkataan Silsilah al-Hadid (rantai besi) dinamakan dengan demikian kerana keserupaannya dengan silsilah dari sudut pertautan atau persamaan antara juzuk-juzuk.
Pada istilah:
Berterusan perawi-perawi sanad dengan satu sifat atau keadaan periwayatan atau juga para perawi.


Huraian Takrif
Hadis musalsal iaitu hadis yang perawi-perawi berturut-turut dengan:
  1. Berkongsi satu sifat
  2. Berkongsi satu keadaan
  3. Berkongsi satu sifat periwayatan

Bahagian-bahagiannya

Daripada huraian takrif jelas bahawa musalsal mempunyai tiga bahagian iaitu:
Musalsal dengan keadaan perawi, musalsal dengan sifat perawi dan musalsal dengan sifat periwayatan. Berikut ini penjelasan bagi setiap bahagian tersebut.

1.      Musalsal dengan keadaan perawi-perawi
Musalsal dengan keadaan perawi-perawi itu sama ada ucapan sahaja, perbuatan sahaja atau kedua-duanya sekali.

1.1  Musalsal Dengan Keadaan Perawi Secara Ucapan
Seperti hadis Mu’az bin Jabal bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya: “Wahai Muaz, sesungguhnya aku menyintaimu maka ucapkanlah setiap kali engkau selesai bersembahyang: Ya Allah, tolonglah aku untuk mengingati, mensyukuri dan mengelokkan ibadat kepada Engkau.” Berlaku tasalsul dalam periwayatan hadis ini dengan kata-kata setiap perawinya, “sesungguhnya aku menyintaimu maka ucapkanlah.[2]

1.2  Musalsal Dengan Keadaan Perawi Secara Perbuatan
Seperti hadis Abu Hurairah, katanya, Rasulullah s.a.w. menyilang antara jari-jariku dan bersabda: “Allah menciptakan bumi pada hari Sabtu.” Setiap perawi telah meriwayatkan secara musalsal dengan menyilang jari-jari perawi yang meriwayatkan hadis ini daripadanya.

1.3  Musalsal Dengan Keadaan Perawi Secara Ucapan Dan Perbuatan
Seperti hadis yang diriwayatkan Anas katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seseorang itu tidak akan mengecapi kemanisan iman sehinggalah dia  beriman dengan taqdir, baik dan buruknya, manis dan pahitnya, dan Rasulullah s.a.w. menggenggam jangggutnya sambil mengucapkan: “Aku beriman dengan taqdir baik dan buruknya, manis dan pahitnya. Setiap perawi telah meriwayatkan secara musalsal dengan menggenggam jangggut dan mengucapkan,  aku beriman dengan taqdir baik dan buruknya, manis dan pahitnya.


2.      Musalsal Dengan Sifat-Sifat Perawi
Sifat perawi merangkumi ucapan dan juga perbuatan

2.1  Musalsal Dengan Sifat-Sifat Perawi Secara Ucapan
Seperti hadis musalsal dengan bacaan surah al-Saff. Hadis ini menjadi musalsal kerana setiap perawi mengucapkan, si fulan membacanya dengan cara seperti ini.
Al-‘Iraqi berkata: “Sifat-sifat perawi secara ucapan dan keadaan mereka secara ucapan sangat hampir bahkan saling menyerupai.

2.2  Musalsal Dengan Sifat-Sifat Perawi Secara Perbuatan
Seperti sama nama-nama perawi seperti musalsal perawi bernama Muhammad, atau sama nama-nama mereka, musalsal fuqaha` atau hafiz-hafiz hadis atau sama nisbah seperti perawi-perawi Dimasyq atau Mesir.

2.3  Musalsal Dengan Sifat Periwayatan
Sifat periwayatan sama ada berkaitan dengan lafaz-lafaz penyampaian, masa  periwayat atau tempat periwayatan.
  1. Musalsal lafaz-lafaz penyampaian seperti hadis musalsal dengan kata-kata setiap perawinya: saya telah mendengar, si fulan telah memberitahu kepada saya.
  2. Musalsal masa periwayatan, seperti hadis musalsal dengan periwayatan pada hari raya.
  3. Musalsal tempat periwayatan seperti hadis musalsal tentang dimaqbulkan doa di Multazam.


Hadis Musalsal Yang Paling Utama
Ialah yang menunjukkan kepada bersambung-sambung mendengar tanpa berlaku tadlis.

Faedah
Mempunyai ketepatan (dhabt) tambahan pada perawi-perawi

Adakah Disyaratkan Ada Tasalsul Pada Semua Sanad?
Tidak disyaratkan ada tasalsul pada semua sanad kerana kadang-kadang tasalsul itu terputus di tengah atau di akhir sanad. Walau bagaimanapun ulama menyebutkannya sebagai hadis ini musalsal setakat si fulan.

Tidak Ada Kaitan Antara Tasalsul Dan Kesahihan
Sedikit sekali hadis musalsal selamat dari kedha’ifan walaupun asal hadis itu sahih bukan melalui  jalan tasalsul.

Karangan Yang Paling Masyhur
  1. Al-Musalsal al-Kubra oleh al-Suyuti, mengandungi 85 hadis.
  2. Al-Manahil al-Salsalah fi al-Ahadith al-Musalsalah oleh Muhammad al-Baqi al-Ayyubi, yang mengandungi 212 hadis.


No comments:

Post a Comment