Tuesday, 18 March 2014

Lemahnya keyakinan kita pada janji-janji Allah s.w.t. melalui perkhabaran daripada Rasulullah s.a.w. dalam setiap amal agama

Sabda Rasulullah s.a.w.:
مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِى جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنَ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنَ النِّفَاقِ. قَالَ أَبُو
 عِيسـَى وَقَدْ رُوِىَ هَذَا الْحَدِيثُ عَنْ أَنَسٍ مَوْقُوفًا وَلاَ أَعْلَمُ أَحَدًا رَفَعَهُ إِلاَّ مَا رَوَى سَلْمُ بْنُ قُتَيْبَةَ عَنْ طُعْمَةَ بْنِ عَمْرٍو عَنْ حَبِيبِ بْنِ أَبِى ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ. (سنن الترمذى، الصلاة)
Bermaksud: Sesiapa yang sembahyang kerana Allah selama 40 hari dengan berjemaah dan mendapat takbir yang pertama. Ditulis bagi orang itu dua pelepasan, pelepasan daripada neraka, dan pelepasan daripada menjadi orang munafik.
   
Berdasarkan haditsh di atas, cuba kita renungkan dan nilaikan pada diri sendiri samada kita amalkan atau tidak tentang perkhabaran Rasulullah s.a.w. tentang ganjaran atau janji Allah s.w.t. kepada sesiapa yang menunaikan solat jemaah selama 40 hari tanpa terlepas takbir pertama akan terlepas dari seksa api neraka?.Dan cuba tanya pada diri sendiri samada ada perasaan ghairah dan penuh pengharapan untuk mengamalkan hadisth di atas?. Atau cuba renung pada diri sendiri samada kita ada displin untuk mengatur masa agar dapat menjaga takbir pertama dalam solat jemaah untuk tempoh masa 40 hari?
Jika kita jadikan perkara-perkara dunia sebagai contoh atau misalan seperti sesiapa banduan dalam penjara yang sembahyang kerana Allah selama 40 hari dengan berjemaah dan mendapat takbir yang pertama. Maka banduan tersebut akan mendapat ganjaran untuk dibebaskan atau keluar dari penjara. Jadi, setiap banduan akan mengambil manfaat daripada ganjaran tersebut dan mereka akan sedaya upaya berusaha untuk menjaga solat berjemaah selama 40 hari dengan takbir pertama tanpa tertinggal satu waktu solat berjemaah hatta tanpa tertinggal satu takbir pertama semata-mata mahu mengejar ganjaran untuk keluar dari penjara dengan penuh harapan dapat kebebasan dari seksaan hidup dalam penjara.
Jika kita kembali kepada hadisth di atas, penjara bagi kita sebagai orang Islam adalah neraka jahanam. Dalam surah Al-Waqiah ada menyebut bahawa penghuni neraka akan diseksa dalam angin yang membakar dan air yang menggelegak serta naungan dari asap hitam, yang tidak sejuk dan tidak pula memberi kesenangan, makan buah dari pokok zaqqum yang pahit kemudian minum air yang panas mengelegak (tak puas-puas minum). Itulah keadaan penghuni neraka yang hidup terseksa. Berdasarkan hadisth di atas, ganjaran untuk amalkan solat berjemaah selama 40 hari tanpa ketinggalan takbir pertama akan mendapatkan pelepasan daripada api neraka. Jadi, pernahkah kita terfikir untuk bebaskan diri kita daripada seksaan api neraka?. Atau pernahkah kita rasa bersemangat untuk mengambil peluang yang telah diberikan oleh Allah s.w.t. dengan penuh keyakinan janji-janji Allah s.w.t lalu mendorong untuk amalkan hadisth tersebut dengan penuh harapan agar dapat bebas dari seksaan api neraka?.
Inilah kelemahan kita kerana kurang yakin dengan janji-janji Allah s.w.t. dan perkhabaran daripada Rasulullah s.a.w. dalam setiap amal. 
Kurang yakin dengan janji-janji Allah s.w.t. dalam setiap amal disebabkan kurang dakwah (Bercakap dan mendengar) tentang janji-janji Allah s.w.t. Kemuliaan kita dan umat Rasulullah s.a.w. hanyalah dalam agama iaitu kita taat perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan laranganNya serta ikut cara kehidupan Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t. telah memberikan kepada kita 2 pekara yang penting dalam kehidupan kita iaitu Agama dan Usaha Agama (usaha untuk amalkan agama dalam kehidupan). Begitu juga jika kita jadikan dunia sebagai contoh, setiap benda ada usaha untuk membuat benda tersebut. Contohnya, untuk hasilkan kereta perlu ada kilang kereta, untuk hasilkan minyak sawit perlu ada ladang kelapa sawit dan sebagainya. Begitu juga untuk amalkan agama perlu ada usaha untuk amalkan agama. Sedangkan agama adalah perkara yang penting dan setiap manusia berhajat pada agama. Namun, pada hari ini kita tidak ada perasaan tentang pentingnya agama dalam kehidupan kita. Kita menganggap agama sebagai satu amalan hak pensendirian. Fahaman tentang agama kurang penting dalam kehidupan kita disebabkan oleh kelahiran kita terus ada agama Islam tanpa sebarang mujahadah dan susah payah. Proses keislaman kita melalui kelahiran adalah proses yang mudah dan tanpa kita sedarinya sendiri. Dan bila kita dewasa, proses pembelajaran agama tidak begitu mendalam sehingga kita menganggap setakat mana amalan agama yang kita amalkan maka itulah agama. Sedangkan agama adalah keseluruhan dalam lapangan hidup. Agama mencakupi pelbagai bahagian dalam hidup. Jadi, kita telah merasa cukup dengan amal agama yang kita rasa cukup (setakat kita faham dengan agama). Maka kita merasa bahawa kita tidak perlu berusaha untuk amalkan agama lebih daripada yang sepatutnya.
Kita berasa lemah untuk amalkan agama kerana kita kurang yakin dengan janji-janji Allah s.w.t. dan perkhabarkan daripada Rasulullah s.a.w. Hal ini disebabkan oleh kurang membuat dakwah. Yakin adalah satu perkara yang penting. Kata seorang sahabat r.a. bahawa yakin adalah iman dan iman adalah yakin. Yakin yang dimaksudkan disini ialah yakin dengan janji-janji Allah s.w.t. melalui perkhabaran daripada Rasulullah s.a.w. tentang perkara yang kita tak nampak dengan mata kasar kita iaitu syurga, neraka, pahala, hari akhirat, titian sirat, padang mahsyar dan sebagainya. Dan agama adalah kadar keyakinan kita dengan janji-janji Allah s.w.t. melalui perkhabaran daripada Rasulullah s.a.w. Sebanyak mana keyakinan kita dengan janji-janji Allah s.w.t. melalui perkhabaran daripada Rasulullah s.a.w. maka sebanyak itulah amalan agama yang dapat kita amalkan.
Cara untuk mendapatkan keyakinan tersebut melalui memperbanyakan cerita, cakap, dakwah atau mendengar tentang kebesaran Allah s.w.t., hari kiamat, syurga, neraka dan sebagainya. Kita dakwahkan perkara yang kita tidak nampak seperti kebesaran Allah s.w.t.,hari kiamat, syurga, neraka, padang mahsyar dan sebagainya sehingga datang dalam hati kita seolah-olah kita melihat keindahan syurga, seksaan neraka dan sebagainya pada mata batin kita. Disamping itu, kita kurangkan bercakap tentang dunia yang boleh kita lihat pada pandangan mata kasar kita seperti duit, pangkat, harta, kuasa dan sebagainya sehinggakan perkara tersebut seolah-olah ghaib, hijab atau tertutup dalam pandangan mata batin kita. Apabila dalam hati kita sudah ada keyakinan yang tinggi terhadap perkara-perkara ghaib dan tidak terkesan dengan dunia maka kita mudah untuk amalkan agama. Selain itu,kita juga kena usaha dengan memperbanyakan membaca al-quran sambil merenung kisah-kisah dalam ayat al-quran, memperbanyakkan zikir mengingati Allah s.w.t., memperbanyakan amal ibadat kepada Allah s.w.t., belajar ilmu agama, bergaul dengan orang yang soleh, memperbanyakan mujahadah keluar di jalan Allah s.w.t. dan sebagainya.
Insya Allah, mulai saat ini, kita kena buat keputusan, jadikan kerja agama iaitu dakwah sebagai maksud hidup dengan sediakan diri dan orang lain, korbankan harta serta lapangkan masa untuk keluar di jalan Allah s.w.t. selama 4 bulan, 40 hari dan 3 hari. Insya Allah, azammm....

No comments:

Post a Comment