Jemaah Tabligh bukannya jemaah, organisasi samada berdaftar atau tidak berdaftar, persatuan dan sebagainya yang cenderung kepada satu bahagian atau kumpulan. Jemaah Tabligh ialah satu amalan yang menyebabkan Allah s.w.t. mengiktiraf kita sebagai umat terbaik. Amalan yang perlu di usahakan oleh setiap orang Islam untuk mengamalkan keseluruhan amalan Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan serta mengajak orang Islam lain untuk bersama-sama mengamalkannya sehinggakan amalan Rasulullah s.a.w. menjadi umum atau kebiasaan dikalangan masyarakat Islam serta tidak langsung menjadi identity sebagai seorang Islam.
Tujuan saya menulis kitab ini adalah menerangkan amalan apa yang perlu di amalkan ketika keluar ke jalan Allah s.w.t. Jika kita mengamalkan apa yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. ketika keluar ke jalan Allah s.w.t. maka usaha Tabligh akan berjaya. Namun, jika kita asyik menumpukan usaha ke arah kebendaan (memperolehi keduniaan ketika berdakwah seperti harta benda, mendapat nama baik dan pengaruh) dan mengumpul serta mengkaji adab-adab dan usul-usul dakwah dalam bentuk teori yang tiada amalinya maka usaha Tabligh tidak akan berjaya.
Usaha Tabligh akan berjaya jika kita tumpukan usaha ke atas zikir dan ilmu. Ilmu sangat perlu untuk zikir dan zikir sangat perlu kepada ilmu. Tanpa zikir ilmu hanyalah merupakan kegelapan dan tanpa ilmu, zikir hanyalah tipu daya semata-mata dan usaha Tabligh tanpa kedua-duanya akan menuju kepada kebendaan.
Ilmu yang sebenarnya ialah apa yang diamalkan dan disebarkan oleh Nabi s.a.w. pada kita. Maksud ilmu ialah pada saat dan ketika itu, saya tahu apa Allah s.w.t. mahu daripada saya mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. Dapat menyempurnakan tuntutan Allah s.w.t. pada masa itu dengan kesedaran Allah s.w.t. ada dalam ingatan pada masa itu dan apa yang saya buat sekarang ini buat kerana Allah s.w.t. mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. maka inilah intipati daripada ilmu dan zikir. Yakni hukum-hakam dan perintah Allah s.w.t. dibuat dengan kesedaran padaNya.
Ilmu itu perintah Allah s.w.t. mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. dan zikir itu kesedaran tentang Allah s.w.t. Maksud zikir ialah kita ada ingatan pada Allah s.w.t. Sekiranya kita berzikir dalam kelalaian iaitu lupa kepada Allah s.w.t. jadi macamana kita kata bahawa kita sedang berzikir. . Segala perintah-perintah Allah s.w.t. ialah zikir. Perintah Allah s.w.t. itu zikir. Sembahyang itu zikir, puasa itu zikir, haji itu zikir, ilmu itu zikir dan semua itu zikir. Baginda s.a.w. beritahu setiap orang yang taat dia zikir. Taat disini bermakna ia ikut perintah Allah s.w.t. dan orang yang taat perintah Allah s.w.t. kerana dia ingat pada Allah s.w.t. jadi orang yang langgar perintah Allah s.w.t. kerana dia lupa pada Allah s.w.t.
Perintah Allah s.w.t. ada hubungnya dengan iman dan ihtisab. Maksudnya, seseorang itu menurut perintah Allah s.w.t. dengan penuh keimanan kepada Allah Maha Agung, Maha Kaya, Maha Terpuji, dan Maha Mengetahui dan penuh keyakinan akan ganjaran dan balasan daripadaNya.
Perihal iman ialah setiap anggota seorang manusia itu mempunyai fungsi untuk bekerja. Mata bertugas untuk melihat maka ia mesti melakukannya. Ia tidak boleh digunakan untuk mendengar. Dengan cara yang sama, hati bertindak balas terhadap keadaan keliling dan otak mentafsirkan apa yang dirasai oleh hati. Otak atau fikiran dikuasai oleh hati dan perasaan akan terwujud di hati melalui suasana atau keadaan daripada luar dan pemberian bentuk terhadapnya dinamakan pengetahuan atau ilmu. Fikiran akan membentuk suatu arca yang sebenar, yakni memiliki pengetahuan hanya apabila jawapan hati adalah tepat dan ini tidak dapat diperolehi melalui kitab-kitab. Ia hanya dapat di hasilkan melalui amalan.
Para sahabat Rasulullah s.a.w yang mulia, kecuali segelintir kumpulan Ahli Suffah mempunyai keluarga dan pekerjaan yang perlu mereka jagai. Mereka terdiri daripada peniaga-peniaga, petani dan ahli-ahli pertukangan yang juga mempunyai kerisauan dan masalah. Tidak ada madrasah-madrasah Arab yang mengajar ketauhidan sebagaimana yang dimaklumi di zaman moden ini yang telah di wujudkan di Madinah dan kalaupun mungkin ada, mereka tidaklah menghabiskan masa sehingga 8 ke 10 tahun di dalamnya. Tetapi tiap-tiap daripada mereka tidak alpa tentang pentingnya pendidikan iman dan setiap mereka mempunyai ilmu yang seperlunya mengenai iman.
Bagaimana mereka belajar? Dengan bersama-sama Rasulullah s.a.w. dan duduk bersama-sama dengan mereka yang tahu dan bergaul rapat dengan orang–orang yang beriman sambil memerhatikan tindak tanduk serta menyertai mereka di dalam sesuatu perjalanan dan jihad. Bertanya daripada mereka tentang kedudukan agama yang sebenar apabila timbul sesuatu perkara.
Ini menekankan betapa pentingnya amalan dalam agama yang perlu disemai dikalangan orang Islam. Amalan itu sendiri sebenarnya tidak ada apa-apa nilai. Nilai akan terhasil akibat daripada perkaitan Allah melalui ketaatan terhadap perintah-perintahNya. Nilai yang sebenar daripada amalan bergantung kepada sejauh mana pengawalan dibuat atas sebab yang menyebabkan perkaitan ini dan ia akan berkadar dengan kerelaan hati dan kekuatan yakin yang melaluinya amalan-amalan itu dilakukan.
No comments:
Post a Comment