Ibnu Asakir meriwayatkan dari Abullah bin Abi Aufa katanya,”Ketika Abu Bakar hendak mengirimkan tentera ke Romawi beliau mengumpulkan beberapa pemuka Muhajirin dan Ansar termasuk didalamnya Umar, Usman, Ali , Abdurrahman bin Auf, Saad bin Abi Wakas, Abu Ubaidah ibnul Jarrah dan Said bin Jubeir dan Abdullah bin Abi Aufa. Dalam kesempatan itu Abu Bakar berkata,”Sesungguhnya Allah tidak akan dapat dihitung segala nikmatnya segala amalannya tidak akan dapat menandingi segala nikmat Allah. Alhamdulillah, Allah telah mempersatukan kamu dan menunjukkan kamu kepada Islam. Semua orang Arab berasal dari satu ayah dan ibu dan aku akan mengirimkan tentera Islam kepada orang Romawi, semoga Allah menolong bangsa Arab, kerana siapa yang gugur dalam medan jihad dia akan masuk syurga dan siapa yang hidup akan diberikan kejayaan di dunia ini. Inilah pendapatku dan kini aku minta pendapat kalian.
Setelah itu Umar bangkit dan berkata,”Alhamdulilllah, sesungguhnya kamu selalu mendahului kami dalam segala kebajikan dan itulah nikmat Allah yang berikan kepada siapa saja yang dikehendaki, aku ingin mengusulkan sebaiknya kamu mengutuskan tentera Islam ke Romawi untuk mengadakan serangan terbuka lawan mereka.”
Kata Abdur Rahman bin Auf,”Hai Khalifah, sesungguhnya orang Romawi adalah bangsa kuat, sebaiknya kamu jangan membuka front terbuka melawan mereka, sebaiknya kamu kirimkan tentera yang mengadakan serangan-serangan di perbatasan mereka sehingga mereka akan takut, selain itu kirimkan tentera ke Yaman untuk mengumpulkan orang Rabiah dan Mudhor, setelah mereka dapat bersatu maka jika kamu ingin berjuang melawan mereka dengan dirimu sendiri kami akan bersamamu dan jika kamu mengutus kami, kami akan melaksanakan perintahmu.”
Kata Abu Bakar kepada sahabat-sahabat yang lain, “Bagaimanakah pendapat kamu.” Usman berkata,”Aku setuju dengan pendapat Umar dan laksanakan jika kamu mahu.”
Kemudian Abu Bakar bertanya kepada Ali,”Hai Abul Hassan Bagaimanakah pendapatmu?” Kata Ali bin Abi Thalib, “Jika kamu ikut berperang Allah akan memenangkan ataupun jika kamu tidak ikut berperang Allah tetap akan memberi kemenangan kepada kita, Insya Allah.” Kata Abu Bakar, “Semoga Allah mengembirakan kamu dari manakah kamu ketahui khabar itu?”
Kata Ali,”Aku dengar Nabi s.a.w. bersabda,” Agama ini tetap akan dimenangkan terhadap siapa saja yang akan mengalahkannya.” Kata Abu Bakar, “Subhannallah, alangkah indahnya bunyi hadisth itu.” Setelah itu Abu Bakar berpidato di hadapan kaum Muslimin, “Hai kau Muslimin, sesungguhnya Allah telah memuliakan kamu dengan agama ini dari segala agama yang lain, kerana itu bersiaplah kamu untuk berjuang melawan orang Romawi di Syiria dan aku akan mengangkat beberapa orang untuk jadi panglima yang akan memimpin kamu, kerana itu taatlah pada Tuhanmu, luruskan niatmu, sesungguhnya Allah akan bersama orang yang bertakwa dan yang berbuat baik.” Semua orang berdiam tidak seorang pun yang menjawab anjuran Abu Bakar itu.
Umar berkata, “Hai kaum Muslimin, mengapakah kalian tidak ada yang menjawab anjuran Khalifah itu?” Kata Amru bin Said, “Hai Umar, janganlah kamu samakan antara kami dengan kaum munafiqin, kami tidak sama dengan mereka, mengapakah kamu sendiri tidak menjawab perkataan Abu Bakar?”
Jawab Umar, “Aku tidak menjawab kerana dia tahu bahawa kalau aku diperintahkan berjihad pasti aku akan menurutinya.” Kata Amru, “Kami tidak berjuang kerana kamu tapi kami mahu berjuang kerana Allah semata-mata.”
Jawab Umar, “Kalau demikian hal itu adalah baik sekali.” Kata Abu Bakar kepada Amru, “Hai Amru, duduklah kamu kerana Umar dalam perkataannya itu tidak bermaksud untuk menyakiti seorang Muslim pun namun dia hanya ingin menganjurkan kalian untuk berjihad.” Kata Khalid bin Said, “Hai Amru, apa yang dikatakan Abu Bakar adalah benar kerana itu sebaiknya kamu duduk saja.”
Setelah Amru bin Said duduk maka Khalid bangkit dan berkata, “Alhamdulillah yang memberikan kejayaan bagi kita dan selawat kami ataurkan untuk Nabi Muhammad. Ketahuilah bahawa kami akan berjuang jika kamu perintahkan dan kami akan mentaati jika kamu suruh.” Ketika Abu Bakar mendengar ucapan Khalid bin Said itu beliau bergembira sekali dan berkata, “Semoga Allah membalas kamu dengan pahala yang baik sesungguhnya kamu telah masuk Islam dengan gembira dan berhijrah kerana Allah Ta’ala dan kamu telah berhijrah untuk melarikan agama dari gangguan orang kafir demi untuk mendapatkan keredhaan dari Allah dan Rasul-Nya. Ketahuilah aku kelak akan jadikan kamu untuk memimpin tentera Islam.” Kemudian Abu Bakar turun dari mimbarnya. Setelah itu Khalid dan semua orang pulang ke rumahnya dan setiap orang sudah yakin bahawa pemimpin mereka adalah Khalid bin Said.
Khalid bin Said adalah orang yang pertama kali datang ke markas kemudian beliau diikuti oleh beberapa orang sahabat lainnya. Setelah semua tentera berkumpul, Abu Bakar datang memeriksa barisan yang akan dikirim ke medan pertempuran itu.
Dalam pemeriksaan itu beliau merasakan bahawa persiapan tentera itu amat sedikit sekali sehingga Abu Bakar bertanya, “Apakah kamu merasa cukup dengan persiapan dan jumlah tentera seperti ini?”
Kata Umar, “Kami merasa belum cukup dengan persiapan dan jumlah tentera seperti yang ada sekarang ini.”
Tanya Abu Bakar, “Bagaimanakah pendapat kalian?” Jawab tentera, “Kami sependapat dengan pendapat Umar.”
Kata Abu Bakar, “Bagaimanakah pendapat kamu? Apakah setuju kalau aku perintahkan orang Yaman turut berjihad?”
Jawab mereka, “Ya, kami setuju.”
No comments:
Post a Comment