Monday, 11 June 2012

Pemberi semangat kepada pejuang untuk berjihad

Di medan pertempuran Badar, Rasulullah s.a.w. sedang duduk berehat didalam sebuah khemah. Dalam pada itu, baginda telah mencurahkan kata-kata semangat perjuangan kepada para sahabat baginda yang turut serta:
“Wahai para sahabatku, bangunlah dan berlumba-lumbalah diantara kamu untuk menduduki syurga yang sama luasnya di antara langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang muttaqin.”
Umair bin al-Hammam r.a. setelah mendengar kata-kata semangat dari Rasulullah s.a.w. itu, maka beliau pun segera bangun lalu berseru:
“Bakh! Bakh! (Betapakah indahnya).”
Lantas Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Umair apa yang dimaksudkan dengan seruannya itu. Beliau menjawab:
“Ya Rasulullah, aku ingin menjadi salah seorang dari mereka yang disediakan baginya syurga itu.”
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tetaplah kamu dengan jaminanku,hai Umair, bahwa kamu termasuk salah seorang dari mereka.”
Kemudian, Umair mengeluarkan segugus buah kurma dari dalam begnya lalu memakannya. Tatkala beliau sedang makan, dengan tiba-tiba beliau berkata:
“Untuk menunggu sehingga aku dapat menghabiskan buah-buah kurma ini tentulah memakan masa yang lama juga. Tidak, aku tidak harus berbuat demikian.”
Selepas sahaja beliau menghabiskan kata-katanya itu, beliau pun terus mencampakkan buah-buah kurmanya itu ke tanah. Dengan sebilah pedang terhunus di dalam genggamannya, beliau terus mara ke medan pertemuran dan berjuang dengan penuh semangat sehingga akhirnya beliau gugur syahid.

No comments:

Post a Comment